Kemunculan pengguna kenderaan elektrik di Malaysia yang tinggi pada saban hari telah menarik lebih banyak pihak penyedia pengecas EV menawarkan servis mereka di tempat awam.

Selaras dengan itu, Suruhanjaya Tenaga (ST) telah menyarankan kepada Pengendali Titik Pengecasan (CPO) yang terlibat dalam pembangungan infrastruktur pengecas kenderaan elektrik (EV) agar mendapatkan segera lesen pengagihan awam yang sah bagi pepasangan Sistem Pengecas EV (EVCS) selewat-lewatnya 31 Mac 2023.

Baca Juga:

Sumber Gambar: WorldOrgs.com

Ini juga termasuklah mereka yang telah beroperasi tetapi masih belum mendapatkan lesen EVCS itu. ST selaku badan kawal selia sektor tenaga memaklumkan lesen pepasangan EVCS perlu dimohon oleh CPO bagi memastikan pepasangan seumpama itu di seluruh negara selamat digunakan.

Tindakan penguatkuasaan akan dikenakan kepada mereka yang gagal berbuat sedemikian selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 9(1)(b) Akta Bekalan Elektrik 1990. Di bawah peruntukan ini, CPO yang bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 dan denda tambahan tidak melebihi RM1,000 untuk penalti harian jika masih ingkar.

Lesen akan diberikan kepada CPO yang menjalankan aktiviti pembekalan elektrik bagi tujuan komersial mengikut lokasi pemasangan bagi tempoh 10 tahun. Bagaimanapun, skop pelesenan ST hanya mengawal selia aspek keselamatan dan teknikal sahaja dan tidak melibatkan aspek kawal selia ekonomi.