Pernahkah anda dapati baju sukan, jersi atau pakaian seharian jenis polyester anda mudah berbau hapak atau masam walaupun selepas dicuci?

Ramai yang menyangka bahawa bau tersebut berpunca daripada fabrik polyester itu sendiri atau peluh manusia. Namun, realitinya tidak sedemikian.

Menerusi perkongsian video ML Studios, Dr. Nur’Ain Yusof, menyatakan secara semula jadinya, material polyester tidak mempunyai sebarang bau.

Begitu juga dengan peluh manusia— peluh yang segar secara asasnya adalah cecair tanpa bau.

Dr. Nur’Ain Yusof merupakan seorang pensyarah kanan dan penyelidik di Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang pakar dalam sains pakaian, teknologi fesyen, dan teknologi tekstil.

Sains Di Sebalik Bau Hapak: Hydrophobic vs Lipophilic

Kunci utama kepada masalah ini terletak pada sifat kimia material polyester konvensional:

Hydrophobic (Tak Suka Air): Polyester secara semula jadi menolak air.

Lipophilic (Suka Minyak): Polyester mempunyai sifat tarikan yang kuat terhadap minyak.

“Tubuh badan manusia secara semula jadi merembeskan minyak dan sebum. Apabila anda berpeluh dan memakai pakaian polyester, fabrik ini akan menyerap minyak dari kulit badan anda. Minyak yang terperangkap pada fabrik ini menjadi ‘medium’ atau habitat yang sangat ideal untuk mikroorganisma dan bakteria membiak.

“Bakteria yang membiak dan memecahkan minyak inilah yang sebenarnya menghasilkan bau masam atau hapak pada pakaian anda, bukannya peluh itu sendiri,” kata Dr. Nur’Ain.

Kenapa Baju Polyester Mahal / Jersi Sukan Tak Berbau?

Anda mungkin perasan pakaian sukan atau jersi jenama antarabangsa yang diperbuat daripada 100% polyester tidak mempunyai masalah bau yang sama, walaupun harganya jauh lebih mahal.

Sebab utamanya adalah teknologi rawatan kemasan (finishing treatment).

Pakaian polyester berkualiti tinggi dan mahal telah diubah suai melalui pelbagai proses rawatan kimia dan nano pada peringkat gentian atau fabrik:

Rawatan Zinc Oxide (ZnO) & Zarah Nano Perak (Silver Nanoparticles): Mempunyai sifat antibakteria yang menghalang pembiakan bakteria pembuat bau.

Activated Sulfur: Digunakan untuk mengawal dan mengelakkan pembentukan bau pada fabrik.

Teknologi Moisture-Wicking: Memberikan sifat capillary action yang menarik kelembapan ke permukaan luar fabrik supaya ia mengering dengan sangat cepat berbanding gentian semula jadi seperti kapas.

Katanya ringkas, polyester konvensional yang murah mudah berbau kerana ia menyerap minyak badan dan memberi ruang untuk bakteria membiak.

Namun, dengan kemajuan teknologi tekstil terkini, polyester moden mampu menjadi material yang sangat bernafas, cepat kering, dan bebas bau—menjadikannya pilihan utama untuk pakaian sukan, tudung, telekung, mahupun pakaian sekolah.