Penyerang skuad kebangsaan Indonesia, Rafael Struick membuat kejutan dimana beliau menyertai kelab yang beraksi dalam saingan Liga Australia iaitu Brisbane Roar.

Perkara ini diumumkan oleh Brisbane dimana Struick menyertai pasukan itu secara tetap dari kelab Eredivisie Belanda iaitu ADO Den Haag.

Baca Juga:

Perpindahan ini nyata mengejutkan ramai pihak dimana pemain berusia 21 tahun itu dijangka kekal di Eropah khususnya selepas beraksi dengan baik bersama skuad Indonesia dalam temasya Piala Asia dan AFC B-23 Tahun baru-baru ini.

Bercakap mengenai perpindahan ke Brisbane, Rafael Struick menyatakan semangatnya dengan menyatakan, “Saya gembira berada di sini dan saya tidak sabar untuk memulakannya.”

“Brisbane adalah kelab yang sangat besar, mereka bermain dalam liga yang sangat kompetitif. Saya teruja untuk bermain dalam Liga-A dan membuat langkah ini ke bahagian lain dunia untuk melangkah keluar dari zon selesa saya.

“Saya mahu membantu pasukan sebanyak mungkin dengan kualiti saya, untuk menjaringkan gol dan memberikan bantuan,” katanya.

Sebelum ini, Struick beraksi bersama Den Haag selama dua musim dari 2022 hingga 2024 tetapi tidak menjaringkan sebarang gol bersama skuad senior.

Di peringkat antarabangsa, Struick telah membuat 14 penampilan untuk skuad kebangsaan Indonesia, di mana beliau adalah pemain utama di bawah bimbingan jurulatih Shin Tae-Yong yang juga bekas pemain Roar.

Struick mengetuai barisan hadapan Indonesia dalam kelayakan Piala Dunia menentang Australia baru-baru ini yang mana kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri 0-0.