Penyokong yang memberikan sokongan kepada skuad Malaysia dengan hadir ke Stadium Rajamangala kelmarin dilaporkan telah menjadi mangsa serangan sekumpulan penyokong Thailand.

Sehubungan dengan itu seperti dilaporkan semalam, beberapa orang penyokong Malaysia telah mengalami kecederaan di bahagian kepala dan muka.

Keadaan yang mengakibatkan mereka terpaksa dikejarkan ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

Difahamkan, Persatuan Bola Sepak Thailand (FA Thailand) tidak lepas tangan berhubung perkara yang tidak diingini itu dan turut menghantar kakitangan mereka dalam membantu urusan penyokong tersebut di Samitivej Srinakarin Hospital.

Perkara tersebut didedahkan oleh Brigate Gialloblu Perlis – Ultras Perlis (BGB) dalam satu kenyataan rasmi berhubung perkara itu.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas salah seorang daripada komrad mereka turut terlibat dengan keganasan segelintir penyokong bola sepak Thailand itu.

“Kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan yang tulus kepada anda (merujuk kepada FA Thailand) atas bantuan penuh perasaan daripada semua kakitangan anda; terutamanya Palmy, kepada kami semasa waktu yang sukar dan penuh cabaran selepas perlawanan Thailand vs Malaysia di Stadium Rajamangala malam tadi (kelmarin).”

“Selain itu, menanggung bil perubatan untuk ahli kami yang cedera adalah satu tindakan yang sangat murah hati dan penuh kasih sayang, yang mencerminkan nilai-nilai yang dijunjung oleh Persatuan Bola Sepak Thailand.”

“Sebagai penyokong yang bersemangat terhadap bola sepak yang indah ini, kami juga menghargai tindakan yang diambil untuk membantu mengeluarkan penyokong Malaysia dari stadium dan memastikan keselamatan mereka.”

Dalam pada itu, Brigate Gialloblu Perlis turut meluahkan rasa kesal mereka terhadap tahap keselamatan di Stadium Rajamangala melibatkan penyokong pasukan lawan.

“Namun begitu, kami percaya bahawa pengawal dan kakitangan keselamatan yang ditugaskan untuk memantau bahagian penyokong pelawat tidak dilatih dengan baik dalam kawalan orang ramai dan penyelesaian konflik.”

“Bukannya mengurangkan risiko pertembungan dengan penyokong tuan rumah, mereka telah menggunakan pistol taser dan kayu pemukul (cota) terhadap kami.”

“Ini menyebabkan situasi yang lebih teruk lagi di tempat letak kereta bawah tanah; yang dianggap sebagai laluan keluar yang paling selamat dari stadium, di mana salah seorang ahli kami mengalami kecederaan kepala yang teruk.”

“Sekali lagi, terima kasih atas kebaikan dan dedikasi anda terhadap keselamatan dan kesejahteraan semua penyokong Malaysia. Kasih sayang anda menjadi contoh yang cemerlang untuk diikuti oleh kedua-dua penyokong pada masa akan datang.”

“Tiada siapa pun seharusnya pergi ke perlawanan bola sepak dan tidak pulang ke rumah dengan SELAMAT,” tambah mereka lagi.