Ketua pasukan Perak Bison, Muhamad Asyraaf Abdul Hadi menegaskan bahawa fokus utama pasukannya dalam setiap pusingan Grand Prix (GP) Sepaktakraw League (STL) 2025 adalah untuk tampil konsisten dan memperbaiki pencapaian musim lalu.
Musim 2024 menyaksikan Perak Bison menamatkan saingan keseluruhan di kedudukan kedua dengan dua kali mara ke pentas final iaitu di GP Selangor dan GP Pulau Pinang manakala tewas di separuh akhir GP Perak dan GP Johor.
GP Terengganu pula Perak Bison hanya melangkah ke suku akhir selepas tunduk kepada tuan rumah.

Sehubungan dengan itu, Asyraaf yang beraksi di posisi apit kiri optimis barisan pemain Perak Bison mampu tampil dengan baik pada saingan kali ini.
“Sebenarnya untuk sasaran kami sememangnya untuk setiap GP, kami nak mempamerkan prestasi terbaik.”
“Tetapi apa yang lebih baik adalah sama ada kami dapat keputusan lebih baik dari tahun lepas atau menyamai pencapaian tahun lepas.”
“Tetapi sudah pastinya apa yang kami mahukan adalah memperbaiki pencapaian tahun lepas,” ” ujar Asyraaf bercakap kepada wakil The Vocket dalam Majlis Pengenalan Pemain dan Memperkenalkan Jersi Perak Bison 2025 di Angsana Mall, Ipoh petang tadi.
Tugas Getir Menanti Perak Bison
Mengulas mengenai perubahan format yang diperkenalkan pada musim baharu ini, Asyraaf melihat saingan STL 2025 bakal menjadi semakin sengit.
“Dengan perubahan format tu membuatkan saingan menjadi lebih kuat, tiada peluang untuk ke separuh akhir sekiranya menamatkan saingan di kedudukan kedua.”
“Jadi apa-apapun setiap perlawanan di peringkat kumpulan perlu memberikan yang terbaik ketika beraksi,” tambah beliau lagi.
Saingan STL 2025 bagi GP Terengganu akan bermula pada 16 Jun ini di Stadium Tertutup Gong Badak dimana Perak telah diundi satu kumpulan bersama Penang Black Panthers dan Selangor Pistons.