Perak Bison membuat pengumuman mengejutkan selepas membawa masuk tekong utama skuad sepak takraw Thailand, Pornthep Tinbangbon untuk menguatkan pasukan dalam menghadapi kempen Liga Premier STL 2026.

Perkembangan terkini itu disahkan Perak Bison dalam satu kenyataan dikeluarkan laman sosial rasmi kelab tersebut sebentar tadi.

Pornthep Tinbangbon Perkuatkan Perak Bison

Pornthep Tinbangbon hadir ke saingan STL dengan reputasi hebat sebagai antara tekong terbaik dimiliki Thailand pada masa ini berbekalkan ketajaman servis kaki kirinya.

Tindakan drastik itu diambil juara bertahan tersebut selepas aksi dua tekong dari Thailand, Khathadet Srichan dan Chanchai Sarika dilihat tidak begitu meyakinkan pada aksi Piala Sumbangsih dan GP Perak pada minggu lalu.

Perak Bison Sambar Khidmat Pornthep Tinbangbon
Kredit Foto: Perak Bison 08

Meskipun beraksi di laman sendiri, perjalanan Perak Bison sekadar terhenti di suku akhir susulan kekalahan 0-2 kepada Kuala Lumpur Thunder yang merupakan naib juara GP tersebut.

Pornthep yang sinonim dengan servis padu kaki kiri itu dijangka akan membuat penampilan pertama bersama Perak Bison pada aksi pembukaan STL GP Pulau Pinang bertemu Selangor Pistons, 4.30 petang nanti.

Selain Selangor Pistons, Perak Bison akan menghadapi cabaran Kedah Eagles pada 30 Oktober nanti.