Perak muncul juara kejohanan sepak takraw Piala Tun Ali 2023 kategori antara regu selepas berjaya mengenepikan cabaran hebat Negeri Sembilan pada aksi final yang berlangsung di Bukit Serindit, Melaka sebentar tadi.
Kemenangan manis dikecapi itu turut membalas kekalahan Perak di tangan lawan sama ketika peringkat kumpulan serta perlawanan akhir STL Champions Cup 2023.
Sesuai dengan status perlawanan akhir, aksi Perak dan Negeri Sembilan jelas amat mendebarkan ribuan peminat yang memenuhi segenap ruang di Dewan Bola Keranjang MBMB itu.
Ia dibuktikan dengan aksi cukup memukau ditampilkan oleh kedua-dua regu yang menyaksikan Perak dibarisi Jakkrit Thinbangbon selaku tekong, Noraizat Nordin (perejam) serta Aidil Aiman Azwawi (pengumpan) manakala Negeri Sembilan pula menyandarkan harapan kepada Haziq Hairul Nizam (tekong), Muhammad Hafizul Hayazi Adnan (perejam) dan Zuleffendi Sumari selaku pengumpan.
Bermula dengan kelebihan 4-0 dimiliki Negeri Sembilan, aksi kemudiannya cukup menarik dengan kedua-dua pasukan saling kejar-mengejar mata.
Kesilapan libasan oleh Noraizat yang keluar pada mata terakhir ketika terikat 24-24 memberikan kemenangan set pertama buat Negeri Sembilan.
Tersentak dengan kekalahan tersebut, Perak tampil dengan cukup garang pada set kedua hingga menyaksikan lawan mereka melakukan kesilapan demi kesilapan.
Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh Perak untuk mencuri set kedua dengan kemenangan mudah 21-7 bagi mengheret aksi ke set penentuan.
Meskipun beberapa kali ketinggalan dengan jurang dua mata, barisan pemain Perak kental bertahan untuk mengikat kedudukan 12-12.
Dengan keyakinan yang semakin jelas terserlah, Jakkrit bersama Noraizat dan Aidil tidak lagi menoleh ke belakang untuk mengesahkan kejuaraan Piala Tun Ali 2023 menjadi milik Perak dengan kemenangan 21-14.