Harga perak nampaknya semakin “menggila” dan terus menunjukkan kenaikan yang luar biasa, malah prestasinya jauh lebih mantap berbanding emas bagi tahun 2025.

Fenomena ini membuktikan yang perak kini semakin diminati, bukan sahaja sebagai simpanan kewangan tetapi juga sebagai aset penting dalam sektor industri menurut laporan MSN.

Perak Pintas Apple Jadi Aset Ketiga Paling Berharga Di Dunia
Photo by Scottsdale Mint on Unsplash

Pada 23 Disember, harga niaga jangkaan hadapan perak didagangkan sekitar $70.29 bagi setiap auns, naik sebanyak 2.52% dalam masa satu hari sahaja.

Jika dilihat secara keseluruhan bagi tahun ini, harganya telah melonjak lebih 140%. Malah, harganya sempat mencecah paras tertinggi $70.80 dalam sesi dagangan harian, sekali gus menunjukkan momentum kenaikan yang sangat kuat dan stabil.

Kenaikan mendadak harga perak baru-baru ini telah mencatatkan satu sejarah yang luar biasa.

Dengan nilai pasaran mencecah kira-kira $4.04 trilion, perak secara rasminya telah memintas gergasi teknologi, Apple, yang mempunyai nilai sekitar $4.02 trilion.

Pencapaian ini meletakkan perak sebagai aset ketiga paling berharga di dunia, hanya di belakang emas dan syarikat mikrocip Nvidia.

Ini adalah momen yang sangat jarang berlaku di mana komoditi fizikal mampu mengatasi nilai syarikat teknologi terbesar dunia.

Kenaikan luar biasa ini didorong oleh jangkaan pelabur terhadap polisi kewangan Amerika Syarikat.

Walaupun data ekonomi AS (KDNK) menunjukkan ekonomi mereka masih kukuh, para pedagang tetap yakin bahawa bank pusat AS (Federal Reserve) akan menurunkan kadar faedah lebih banyak pada tahun 2026.

Selain itu, pasaran juga optimis dengan spekulasi bahawa pengerusi Federal Reserve yang baharu nanti mungkin akan lebih “lembut” (dovish) dalam soal kadar faedah berbanding Jerome Powell. Hal ini dilihat selari dengan keinginan Presiden Donald Trump yang lebih gemar kepada kadar faedah rendah.

Apabila kadar faedah rendah, pelabur biasanya akan beralih daripada menyimpan duit dalam bank kepada aset seperti perak, sekali gus melonjakkan lagi harganya di pasaran global.

Selain faktor ekonomi global, kekuatan harga perak sebenarnya berpunca daripada kegunaannya yang sangat penting dalam industri moden. Perak bukan sekadar barang kemas, tapi komponen wajib dalam penghasilan barangan elektronik, panel solar, kenderaan elektrik (EV), dan juga peralatan perubatan.

Selepas berlakunya fenomena short squeeze (kenaikan mendadak akibat pelabur ‘short’ terpaksa membeli balik) pada bulan Oktober lalu, harga perak terus melonjak naik. Kenaikan ini disokong kuat oleh permintaan kilang yang tinggi serta kemasukan dana yang besar ke dalam pelaburan ETF (dana indeks perak).

Walau bagaimanapun, pasaran perak sekarang sedang mengalami turun naik (volatile) yang sangat ekstrem. Tahap ketidaktentuan ini adalah yang tertinggi pernah direkodkan sejak awal tahun 2021. Walaupun harga masih tinggi, pemerhati pasaran mula melihat tanda-tanda pelabur menjadi lebih berhati-hati.

Indikator sentimen menunjukkan bahawa pelabur kini tidak lagi “sangat yakin” seperti sebelum ini dan mula mengambil langkah berjaga-jaga terhadap sebarang kemungkinan perubahan harga secara tiba-tiba.