Bekas Menteri Kewangan II dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilantik mengetuai pasukan petugas bagi menyelesaikan beberapa isu membabitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersetuju dengan kritikan Ahli Parlimen Titiwangsa itu, berhubung penyelesaian kerajaan dengan Goldman Sachs bernilai USD2.5 bilion (RM11.29 bilion).

Baca Juga:

Penyelesaian dengan bank pelaburan antarabangsa itu dicapai pada tahun 2020 ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya sendiri tidak bersetuju dengan keputusan lalu, yang terlalu ringan ketika persetujuan dicapai. Goldman Sachs mengaut untung di atas kesukaran dan derita kita,” kata Anwar dalam sidang Dewan Rakyat.

Pada 2020, kerajaan pimpinan Muhyiddin mencapai penyelesaian dengan Goldman Sachs dengan bank pelaburan itu hanya membayar USD2.5 bilion kepada kerajaan dan memberi jaminan pulangan aset 1MDB yang dirampas di seluruh dunia, bernilai USD1.4 bilion.

Bulan lalu, Johari menggesa kerajaan menyiasat peranan pihak yang terbabit dalam penyelesaian dengan Goldman Sachs, menyifatkan itu sebagai tidak adil dan meragukan.

Johari berkata Goldman Sachs bertindak sebagai penasihat kewangan dan pengurus utama untuk tiga bon diterbitkan oleh 1MDB bernilai USD6.5 bilion (RM29.35 bilion), memperoleh yuran komisyen USD606 juta (RM2.7 bilion) dalam proses itu.

Johari berkata, sabitan dua bekas pekerja Goldman Sachs turut menjadi bukti penyelesaian itu meragukan.

Hari ini, mahkamah di New York menjatuhkan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng dengan hukuman penjara 10 tahun kerana terbabit dalam skandal 1MDB. Sebelum ini, Roger Ng didapati bersalah membantu dalam skandal penyelewengan dana 1MDB.

Pada April lalu, juri di Mahkamah Persekutuan Brooklyn mendapati Roger Ng, bekas ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia, bersalah kerana membantu bekas orang atasannya, Tim Leissner menggelapkan wang daripada dana itu, mencuci hasil dan merasuah pegawai kerajaan untuk mendapatkan perniagaan.

Leissner pernah menjadi ketua Goldman di Asia Tenggara dan dia mengaku bersalah dan memberi keterangan terhadap Roger Ng sebagai sebahagian daripada perjanjian kerjasama.

Sumber