Kedutaan Besar Malaysia (KBM) di Riyadh mengeluarkan notis peringatan kepada seluruh rakyat Malaysia yang menetap atau berada di Arab Saudi agar sentiasa berwaspada dan peka terhadap perkembangan keselamatan terkini di negara berkenaan.

Langkah ini diambil bagi memastikan keselamatan warga Malaysia terjamin berikutan situasi semasa yang memerlukan kawalan dan kewaspadaan tinggi.

Menerusi kenyataan rasmi, pihak kedutaan menasihatkan awam supaya bertenang serta mematuhi segala arahan dan maklumat rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Rakyat Malaysia dinasihatkan supaya mengelakkan daripada berada di kawasan-kawasan berisiko tinggi dan tidak mengambil serta menyebarkan sebarang gambar atau video berkaitan insiden keselamatan semasa yang boleh menimbulkan panik,” jelas kenyataan rasmi KBM Riyadh menerusi laman Facebook rasminya hari ini.

Selain itu, KBM Riyadh turut menyaran para pelanggan perkhidmatan penerbangan supaya membuat perancangan teliti sebelum memulakan sebarang perjalanan.

“Rakyat Malaysia diminta merancang perjalanan sebaiknya dan menyemak status penerbangan secara langsung dengan syarikat penerbangan serta pihak lapangan terbang terlebih dahulu,” tambah kenyataan itu lagi.

Bagi memudahkan penyaluran maklumat dan bantuan konsular sekiranya berlaku keadaan kecemasan, rakyat Malaysia di sana digesa untuk mendaftar dan mengemas kini maklumat keberadaan mereka dengan pihak kedutaan.

KBM Riyadh menegaskan bahawa pihak mereka sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa Arab Saudi dan akan menyalurkan sebarang perkembangan penting dari semasa ke semasa.

Bagi rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular kecemasan, mereka boleh menghubungi talian hotline KBM Riyadh menerusi telefon +966 56 300 6319 (khusus untuk kecemasan sahaja) atau melalui emel rasmi di [email protected].