Perkataan ‘ketimbang’ yang sering digunakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal dimasukkan dalam Kamus Dewan Perdana Edisi Kedua.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam satu kenyataan berkata, ketimbang merupakan kata sendi nama yang bermaksud menyatakan atau menunjukkan perbezaan atau perbandingan antara sesuatu.

Baca Juga:

“Carian kata ini boleh dibuat melalui portal Pusat Rujukan Persuratan Melayu (prpm.dbp.gov.my) melalui kategori Kamus Dalam Talian,” katanya di laman Facebook rasmi.

Perkataan ‘ketimbang’ menjadi bualan hangat dalam kalangan warga maya apabila Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid menyindir laras bahasa yang digunakan oleh Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2025.

Rosol membangkitkan isu berkenaan dalam Dewan Rakyat dengan mendakwa bahawa istilah ‘ketimbang’ itu tiada dalam kamus DBP.

Sebaliknya Rosol berkata, menerusi carian dalam Internet, perkataan tersebut membawa maksud kencing, tipu dan sembang.

“Ketimbang, ketimbang ini, saya check (semak) dlm Kamus Dewan tiada maksud ketimbang. Tapi saya baca dlm Internet, maksud ketimbang ini adalah kencing, tipu dan sembang” kata MP Rosol Wahid.

Anwar Ibrahim sebelum ini menjelaskan beliau sudah menggunakan istilah ketimbang setiap kali berucap di hadapan orang ramai.

“Ini kena belajar bahasa sedikit. Contohnya maksud ketimbang. Saya tanya dewan bahasa dan pustaka, istilah ini dia ikut zaman.

“Apa yang dimaksudkan ketimbang adalah keperihalan keadaan. Ini teori bahasa. Context of situation. Orang guna kemudian kita guna. Dulu tak ada alaf, tak ada ketelusan, tak ada mampan, tapi sekarang ada,” jelasnya.