Bermula daripada hanya sebuah Toyota Alphard, bagaimana syarikat kereta sewa ini berkembang sehingga berjaya memiliki 1100 buah kereta sewa dalam masa 3 tahun, memang sesuatu yang impressive.
Kerja keras, berjemaah, memberi yang terbaik kepada pelanggan melalui kualiti kereta terbaik dan memudahkan pesanan, serta bisnes bersistem adalah di antara sebab syarikat kereta sewa bumiputera ini mampu mencapai sesuatu yang mustahil dalam jangka masa yang pendek.
KLezCar, sebuah syarikat kereta sewa yang menawarkan pelbagai jenis kenderaan dan motorsikal berkuasa besar, berjaya mencipta namanya di seluruh negeri di Malaysia hanya dalam masa 3 tahun.
Saya mengenali COO (Chief Operation Officer) syarikat ini, Tuan Shahril Sidek, sejak beberapa tahun dahulu, dan melihat bagaimana syarikat ini berkembang, saya berasa teruja untuk mencungkil kisah kejayaan syarikat ini di Vocket.
Ikuti perbualan kami di bawah.
Assalamualaikum Tuan Shahril Sidek yang berusaha, terima kasih kerana memberi kami peluang untuk menemuramah Tuan.
Berikut adalah soalan-soalannya:
1. Boleh ceritakan serba sedikit tentang latar belakang Tuan.
Saya seorang anak jati Kelantan. Mula terdedah dengan dunia perniagaan seawal umur 7 tahun melalui arwah ayah yang mula menceburkan diri dalam dunia bisnes.
Saya kerap ikut ayah pergi berniaga, setiap kali lepas berniaga saya lah tukang kira duit. Mak masa tu masih lagi suri rumah tangga sepenuh masa. Semasa saya berusia 12 tahun, mak pula mula berniaga.
Saya mula berniaga pada umur 8 tahun, darjah 2. Perniagaan pertama saya adalah meniaga 'tikam'. Ala, yang bayar duit 10 sen, cabut 3 keping kertas, tengok nombor. Kalau nombor tu bertuah dapatlah hadiah pistol ke, mainan ke.
Semasa di Politeknik Kota Bharu, untuk menampung hidup sepanjang pengajian Diploma Kejuruteraan Mekatronik, saya berniaga handphone second hand.
Pada 2004, saya masuk ke UTeM untuk mengambil Ijazah Kejuruteraan Elektronik Telekomunikasi, saya berniaga batik. Stok kain batik dihantar dari Kelantan menggunakan bas ekspress, jam 5 pagi saya akan menunggu bas tiba untuk ambil stok. Selepas kuliah sebelah petang, saya akan ke bandar Melaka untuk jual stok kain batik ke kedai-kedai. Cukuplah menampung perbelanjaan saya.
Kerja terakhir saya adalah sebagai penjawat awam, berjawatan Pegawai Kawalan Trafik Udara A41 (Air Traffic Controller) di KLIA. Satu kerja yang menarik tetapi atas desakan hati kecil untuk berniaga, maka saya meletakkan jawatan pada Disember 2012 untuk fokus berniaga dalam bidang kereta sewa melalui jenama KLezCar.
Di dlm KLezCar, saya diberi amanah sebagai COO.
2. Sejak bilakah Tuan memulakan perniagaan KLezCar dan boleh ceritakan bagaimana Tuan bermula.
Bermula dengan sebuah Toyota Alphard, selepas 2 bulan menambah 5 buah baby Alphard (Perodua Viva).
3. Sejak bila dan bagaimana KLezCar boleh berkembang sehingga ke tahap sekarang.
Pada Disember 2012, kami mula menjenamakan KLezCar dan mula beroperasi di 5 lokasi iaitu Petaling Jaya, Gombak, Bandar Tasik Selatan dan Shah Alam.
Setelah itu kawan-kawan terdekat mula menaruh minat dan menyatakan hasrat mereka untuk membuat bisnes kereta sewa dengan menggunakan jenama KLezCar. Ianya berkembang terus ke luar Kuala Lumpur dan Selangor melalui cadangan kawan atas kawan.
Pada 2013, kami mula mengadakan Road Tour ke Kelantan, Johor, Melaka, Kedah dan Pulau Pinang untuk mencari individu yang berminat untuk menyertai kami di bawah program licensing.
Pada 2014, KLezCar berjaya bertapak di kota-kota besar seperti Kuala Lumpur, Selangor, Johor Bahru, Seremban, Pulau Pinang, Alor Star dan Kota Bharu.
2015 merupakan tahun di mana KLezCar berada di setiap negeri di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak dan jumlah cawangan KLezCar yg terkini adalah sebanyak 81 cawangan.
Kami masih lagi mengintai peluang untuk menjadikan cawangan KLezCar sebanyak 100 cawangan untuk berada lebih dekat dengan lokasi masyarakat umum.
4. Berapa banyak kereta sewa, dan apakah jenis-jenis perkhidmatan KLezCar yang ditawarkan sekarang? Berapa banyak tempahan setiap hari.
Bilangan kereta yang berada di bawah jenama KLezCar adalah sekitar 1100 biji di seluruh Malaysia.
Agak susah untuk saya berikan jumlah tepat mengenai tempahan setiap hari, kira-kira 70% daripada kereta kami akan keluar setiap hari bekerja, manakala pada weekend, kira-kira 90-95% kereta kami akan habis ditempah.
Jika terdapat cuti umum, kebiasannya 100% kereta kami habis ditempah.
5. Apakah nilai-nilai atau USP (Unique Selling Proposition) yang ditawarkan oleh KLezCar.
Antara USP yang ada pada KLezCar adalah sistem. Kami mempunyai sistem berpusat untuk membolehkan pelanggan dari mana-mana lokasi sahaja membuat tempahan kereta sewa.
-
Website KLezCar.com menggunakan sistem real time booking. Pelanggan boleh memilih mana-mana lokasi seluruh Malaysia dan melihat kereta apa yang masih "available" pada tarikh yang dikehendaki.
Jika kereta masih "available", pelanggan boleh terus membuat tempahan dan membuat bayaran dengan menggunakan kad kredit atau bank transfer.
Pengesahan tempahan (confirmation booking) akan dihantar ke alamat e-mel pelanggan kami dan pada tarikh sewaan, pelanggan hanya perlu datang ke lokasi yang dipilih dan tunjukkan e-mel pengesahan tempahan sahaja dan terus boleh mendapatkan kereta.
-
Talian hotline 24 jam 1-300-88-4040. Hotline ini membantu pelanggan untuk membuat tempahan kereta sewa di mana-mana lokasi. Pelanggan boleh membuat panggilan tak kira masa kerana hotline ini beroperasi 24 jam 7 hari seminggu tanpa cuti termasuklah cuti umum.
-
Selain dari itu, kami juga menyediakan borang maklum balas daripada pelanggan. Pelanggan boleh membuat aduan jika terdapat apa-apa yang menimbulkan ketidak puasan hati melalui link yang ada di laman web kami di sini.
6. Saya difahamkan, di antara sebab KLezCar berkembang dengan pesat, adalah kerana adanya sistem operasi syarikat yang baik. Boleh ceritakan tentang ini? Ada faktor-faktor lain?
-
Nombor hotline 24 jam sehari, 365 hari setahun.
-
Pelbagai cara untuk membuat tempahan – talian terus, laman web dan nombor telefon.
-
Pihak klezcar juga menyediakan sistem platform yang berfungsi secara real time booking.
-
Selain itu, pelanggan boleh mengambil kereta di lokasi A dan memulangkan kereta di lokasi B di seluruh Malaysia.
-
Pelanggan boleh memberikan maklum balas atau aduan, dan tindakan segera akan diambil oleh pihak pengurusan.
-
Pelanggan boleh mengubah tempahan yang telah dibuat dalam jangkamasa yang ditetapkan.
-
Bilangan kereta yang melebihi 1100 buah kereta dan majoritinya adalah kereta baru.
-
Pelbagai model kereta, MPV dan van.
-
Liputan seluruh Malaysia.
-
Pelanggan boleh mendaftar sebagai ahli KLezCar utk mendapatkan mata terkumpul daripada jumlah sewaan, seterusnya mata ini boleh ditukarkan dengan hadiah.
-
Kami juga menyediakan perkhidmatan sewaan motor berkuasa tinggi jenama Harley Davidson di bawah brand KLezBike, laman web di KLezbike.com
7. Adakah KLezCar bercadang mengembangkan perniagaan ke luar negara (berikutan pameran di Dongguan, China).
Ya, betul. Selari dengan perkembangan syarikat, kami bercadang untuk membuka cawangan KLezCar ke luar negara. Pada 28-31 Oktober 2015 yang lalu, KLezCar menghantar 13 orang untuk membuka booth di Guangdong 21st Century Maritime Silk Road International Expo. Insyaallah jika diberi peluang, kami akan ke negara-negara lain pula nanti.
8. Bagaimana untuk mengusahakan perniagaan kereta sewa? Adakah KLezCar menawarkan perkhidmatan untuk pengusaha baru?
Untuk mengusahakan perniagaan kereta sewa di bawah jenama KLezCar, pihak KLezCar ada menawarkan program licensing. Di bawah program ini, KLezCar akan memberikan sistem, latihan dan sokongan sepanjang tempoh kontrak.
Setiap cawangan akan dibekalkan dengan sistem operasi kereta sewa yang tersusun, dari segi sistem operasi, sistem tempahan, sistem rekod, fleet management, sistem pengiraan seperti target sales, keuntungan, kos pemasaran, kos berkembang dan pengurusan kakitangan.
9. Bagaimana untuk membuat tempahan kereta sewa?
Tempahan kereta sewa boleh dibuat melalui 2 channel utama kami iaitu:
- Website KLezCar.com yang berkonsepkan real time booking, dilengkapi dengan sistem secure payment gateway.
- Hotline KLezCar 1-300-88-4040 yang beroperasi 24 jam sehari, 7 hari seminggu tanpa cuti.
10. Apakah harapan dan perancangan Tuan terhadap KLezCar.
Saya berharap KLezCar bertambah maju dan mampu menjadi syarikat bumiputera nombor 1 di Malaysia dalam industri kereta sewa.
Saya juga berharap agar semua rakan kongsi KLezCar menjadi seorang bisnesman yang beriman, kaya di dunia dan akhirat.
11. Ada perkongsian atau pesanan tambahan yang ingin disampaikan?
Stay focus and mingle around.
Fokus dengan apa yang dilakukan sekarang, bergaul dengan kelompok yang betul.
Buat bisnes dalam jemaah adalah lagi mudah, cepat, seronok dan bersemangat jika dibandingkan dengan buat bisnes secara bersendirian.
12. Di mana boleh mendapatkan informasi terkini mengenai KLezCar.
Informasi terkini mengenai KLezCar boleh di didapati melalui blog KLezCar di http://www.klezcar.com/blog/
atau FB page KLezCar.com.
BACA: Rahsia Kedai Online Ini Mendapat 100,000 Likers Secara Organik Dalam Masa 4 Bulan
BACA: Tadika Ini Berkembang Daripada 1 Ke 83 Rangkaian Dalam Masa 14 Bulan Dan Bagaimana Mereka Bermula?