Kekalahan Manchester United dengan Liverpool telah memberi tamparan hebat buat peminat di seluruh dunia.
Nampaknya Dewan Bahasa Pustaka (DBP) turut sempat berjenaka selepas memuat naik hantaran peribahasa ‘bagai tokak lekat di kening’ yang dipercayai dituju kepada pasukan Manchester United selepas kalah 3-0 kepada Liverpool dalam saingan EPL awal pagi tadi.

Menerusi perkongsian DBP itu, maksud peribahasa tersebut adalah malu yang tidak dapat disembunyikan.
Perkongsian tersebut langsung mencuit hati ramai dan netizen merasa terhibur menerusinya. Ditambah pula visual dengan pasukan mengenakan jersi seperti MU dalam keadaan duka membuatkan hantaran itu lebih ‘pedas’ dari yang biasa.
“Fuhh….kasar betul kebenaran ni… i like.kakakaka,” perli Hamdan Ramli.
“Saya terluka dengan DBP. Mulai esok saya akan cakap guna bahasa Siam je,” kata Mohd. Ristaudin.
“Jangan min. Berdarah tengok peribahasa min ni,” seloroh Muhammad Nurshazni.
“Bagi lagi peribahasa yang lebih menusuk wahai admin,” ujar Saufi Opie yang mahukan lagi.
Mereka malah sempat berterima kasih kepada DBP kerana mengajar peribahasa berkenaan dan juga memerli peminat pasukan yang kalah untuk menerima kenyataan.
Dengan keputusan sedemikian, ia hanya menambah duka buat peminatnya kerana sebelum ini tewas 1-2 pada hujung minggu lalu di Brighton.