Malaysia tampil dengan baik pada babak kedua untuk mengikat Cape Verde 1-1 pada perlawanan persahabatan Tier 1 yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi.

Berdepan lawan yang berada di ranking ke-72 dunia menyaksikan Peter Cklamovski meletakkan harapan kepada trio Arif Aiman Mohd Hanapi, Muhammad Faisal Abdul Halim dan Safawi Rasid di bahagian serangan.

Manakala Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili dan Gabriel Arrocha Palmero diberikan peluang membuat penampilan sulung di pentas antarabangsa.

Duo pertahanan tersebut membentuk gandingan mantap bersama Harith Haiqal Adam Afkar, Daniel Ting dan Matthew Davies.

Pelawat yang mencipta gerakan menerusi hantaran pendek tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan.

Ia berikutan ledakan padu Sidney Cabral dalam kawasan penalti selepas melepasi kawalan Daniel Ting yang tidak mampu diselamatkan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed untuk meletakkan Cape Verde dihadapan.

Tersentak dengan jaringan awal tersebut, Gabriel Palmero melakukan gerakan solo dan kemudiannya melepaskan percubaan ke arah pintu gol Cape Verde.

Namun, rembatan daripada luar kawasan penalti itu sekadar singgah di tiang gol lawan.

Arif Aiman yang beraksi baik hasil larian-larian pantas dalam mengkucar-kacirkan pertahanan cuba untuk mengancam gawang Cape Verde.

Bagaimanapun percubaannya pada minit ke-19 dan 21 ditangkap dengan mudah penjaga gol Cape Verde, Vozinha.

Babak Kedua Yang Sukar Buat Cape Verde

Mendapat tonik berguna pada rehat separuh masa pertama, barisan pemain negara mempamerkan aksi lebih bertenaga pada baki 45 minit kedua.

Ia bermula dengan percubaan dari luar kawasan penalti oleh Faisal Halim diselamatkan Vozinha lalu terkena tiang gol, namun Ubaidullah dan Nooa Laine tidak dapat membaca dengan baik gerakan bola dihadapan pintu gol pada minit ke-60.

Berselang 10 minit kemudian, Arif Aiman melakukan larian deras bagi melepasi kawalan pertahanan lawan, tetapi percubaannya diselamatkan Vozinha ketika beliau hanya berhadapan dengan penjaga gol tersebut.

Perubahan dilakukan Cklamovski dalam memasukkan Paulo Josue, Endrick Dos Santos dan Quentin Cheng nyata membuahkan hasil.

Ia dibuktikan apabila percubaan Endrick yang membias terkena pertahanan beri ruang kepada Quentin untuk melakukan umpanan buat Josue.

Josue nyata cukup tenang dalam menyempurnakan peluang untuk membolehkan pemain berpengalaman itu menyamakan kedudukan pada minit ke-79 walaupun Vozinha sudah dapat menepis percubaan tersebut.

Memasuki minit ke-86, Jose mendapat satu lagi peluang terbaikĀ  dalam kawasan penalti setelah menerima hantaran Stuart Wilkins, namun rembatannya dinafikan Vozinha.

Kedudukan 1-1 itu kekal hingga tamat permainan untuk menjadi tonik berguna buat skuad negara dalam menghadapi dua lagi perlawanan selepas ini.