Dalam perkembangan terkini isu GISB Holdings, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis telah memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam entiti itu didapati mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.
Memetik laporan Harian Metro, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, fatwa berkenaan dikeluarkan setelah menerima bukti yang meyakinkan untuk jawatankuasa berkenaan memutuskan bahawa organisasi berkenaan sesat.
Pada masa sama, kumpulan tersebut didapati mengikut secara membuta tuli dan mematuhi arahan pemimpin atau golongan agama sekalipun bercanggah dengan ajaran Islam.
“Unsur ajaran batiniah berkenaan juga adalah kesinambungan daripada ajaran al-Arqam yang difatwakan sesat.
“Setelah jawatankuasa berbincang maka perkara berikut diputuskan bahawa kumpulan GISB Holdings Sdn Bhd yang mengkultuskan pemimpin mereka atau tokoh agama yang mereka percaya sehingga melampaui batasan ke tahap seakan menyamakan kedudukan pemimpin atau tokoh agama setaraf Nabi SAW atau mempunyai keajaiban atau mengetahui perkara yang ghaib seakan Tuhan adalah fahaman yang bersifat batiniyyah, menyeleweng dan sesat.
“Kesan dan akibat daripada pengkultusan itu melahirkan ketaksuban yang melampau sehingga mentaati pemimpin atau golongan agama sekalipun jelas bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Dalam pada itu, setelah meneliti pengoperasian aktiviti ekonomi GISB Holdings Sdn Bhd, jawatankuasa menyimpulkan bahawasanya model ekonomi yang diamalkan bukanlah model ekonomi Islam yang sebenar.
“Malah, ia bercanggah dengan prinsip ekonomi Islam kerana ia mempunyai unsur penindasan dan perhambaaan terhadap mereka yang terbabit serta eksploitasi ke atas ahli, kanak-kanak, wanita dan keluarga demi kepentingan pihak yang dikultuskan.
“Oleh itu, segala ajaran, aktiviti dan apa sahaja yang boleh membantu GISB Holdings Sdn Bhd adalah dilarang dan jawatankuasa ini juga mencadangkan masyarakat Islam membantu pemulihan ahli GISB Holdings Sdn Bhd yang ingin keluar dari kesesatan ini.
“Peruntukan zakat juga boleh digunakan untuk pemulihan mereka seperti pembiayaan pendidikan yang betul, pembinaan semula kehidupan, perlindungan keselamatan, bantuan guaman yang mempunyai kaitan untuk pembebasan diri dari organisasi ini dan pembiayaan dakwah pemurnian akidah,” katanya.