Persatuan hotel di Malaysia meminta kerajaan untuk menaikkan caj penginapan bilik yang dianggap rendah berbanding caj dikenakan oleh negara jiran.

Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) menggesa agar kerajaan menanganj kadar caj bilik hotel yang disifatkan sebagai jauh lebih rendah dimana mereka mendakwa hotel lima bintang di Malaysia mengenakan caj RM320 hingga RM450 satu malam.

Baca Juga:

Pengarah Eksekutif MAHO, Shaharuddin M Saaid berkata kadar itu jauh lebih rendah berbanding caj yang dikenakan oleh hotel lima bintang negara jiran iaitu US$400-500 atau sekitar RM1600-RM2000 untuk satu malam.

Sebelum ini, netizen tidak berpuas hati dengan peraturan yang diterapkan oleh kebanyakan hotel di Malaysia yang menetapkan waktu daftar masuk semakin lewat tetapi mempercepatkan waktu daftar keluar.

Seorang pengguna meluahkan rasa kecewa apabila hotel-hotel tempatan sering memberikan alasan yang tidak munasabah, dengan mengatakan bahawa mereka tidak mempunyai masa mencukupi untuk membersihkan bilik.

Seorang lagi pengguna mencadangkan agar semua hotel di Malaysia menyelaraskan masa daftar masuk dan keluar, iaitu pukul 2 petang untuk check-in dan pukul 12 tengah hari untuk check-out, seperti yang diamalkan secara meluas di negara lain.

Peraturan seperti ini membuatkan rakyat Malaysia lebih gemar bercuti di luar negara yang mana caj penginapan bilik lebih murah selain tiada peraturan yang tidak munasabah.

Walaupun pihak berkepentingan dalam sektor pelancongan tempatan telah menyatakan kebimbangan terhadap jumlah yang dilaporkan, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Isaac Raj berkata tidak ada sebab untuk panik kerana pelancongan tidak boleh dilihat sebagai ‘zero-sum game‘.

Isaac berkata keupayaan rakyat Malaysia menyumbang kepada ekonomi serantau adalah petanda positif mobiliti ekonomi. Beliau berkata perjalanan ke luar negara menjadi lebih menarik berikutan pengukuhan ringgit.

“Rakyat Malaysia sedang mencari tarikan dan pengalaman di negara luar seperti Thailand yang kita tidak ada di sini di Malaysia.

“Unsur-unsur yang hilang ini bukanlah cerminan kekurangan di pihak kami. Sudah menjadi lumrah bagi penduduk tempatan untuk mencari pelbagai tawaran dan pengalaman pelancongan yang tidak dapat mereka temui di negara ini, kata Isaac kepada FMT.