Skuad kebangsaan Malaysia sebentar tadi mengumumkan kehadiran Facundo Garces sebagai pemain kacukan baharu yang akan menyarung jersi Harimau Malaya.

Ketika Jon Irazabal dan Rodrigo Holgado dikatakan sedang dalam perjalanan untuk ke Malaysia, tiba-tiba nama Garces pula diumumkan secara rasmi sebentar tadi.

Perkembangan terkini itu disahkan laman Facebook Malaysia NT menerusi satu video pengenalan pemain yang dibuat.

Menurut tinjauan, Facundo Garces merupakan pemain pertahanan tengah yang beraksi dalam saingan Laliga, Deportivo Alaves.

Menyertai Alaves pada Januari 2025, pemain berusia 25 tahun kelahiran Santa Fe, Argentina itu telah membuat tujuh penampilan masa penuh dan tiga kali dimasukkan sebagai pemain gantian.

Daripada 10 penampilan tersebut, lima daripadanya menyaksikan Deportivo Alaves berjaya mengelakkan gawang mereka daripada dibolosi. Salah satunya adalah ketika aksi menentang Atletico Madrid.

Dengan usia yang masih muda serta memiliki ketinggian 1.89 meter, ia pasti akan memberikan kelebihan dalam situasi bola mati, sama ada bertahan mahupun menyerang.

Mengulas mengenai kehadirannya dalam memperkuatkan skuad kebangsaan, ini kata-kata awal dari Facundo Garces.

Facundo Garces
Soccer Football – LaLiga – Deportivo Alaves v Atletico Madrid – Estadio Mendizorroza, Vitoria-Gasteiz, Spain – May 3, 2025 Atletico Madrid’s Alexander Sorloth in action with Deportivo Alaves’ Facundo Garces REUTERS/Vincent West
Garcés turut meluahkan keterujaannya untuk mewakili Malaysia, dengan berkata:
“Menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan ini adalah satu penghormatan yang luar biasa.”
“Sejak tiba, saya telah merasai kehangatan, semangat kekeluargaan, dan sokongan yang ikhlas dari semua.”
“Jika ini baru permulaan, saya tidak dapat bayangkan betapa hebatnya bila seluruh negara dan penyokongnya berdiri teguh bersama kami.
”Saya bersedia memberikan segala-galanya demi Malaysia,” ujar beliau menurut kenyataannya di Malaysia NT.

Facundo Garcés kini telah menyertai kem latihan skuad kebangsaan sempena jendela FIFA dan akan layak untuk dipilih bagi perlawanan Kelayakan Piala Asia AFC menentang Vietnam yang akan datang.

Sumber