Di sebalik kesibukan luar biasa itu di hospital kerajaan, ada satu realiti mengejutkan yang sedang berlaku secara senyap di negara kita apabila buat pertama kalinya dalam tempoh sedekad, jumlah doktor di sektor awam Malaysia semakin berkurangan.
Memetik laman CodeBlue, berdasarkan Fakta Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jumlah doktor di bawah kementerian ini telah merosot sebanyak 2.7 peratus pada tahun 2024.
Ini bermakna, KKM kehilangan seramai 1,444 orang doktor, menjadikan jumlah keseluruhan mereka turun daripada 53,512 (tahun 2023) kepada 52,068 (tahun 2024).
Fenomena ‘Kerusi Kosong’ di Hospital

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad baru-baru ini menyatakan kerajaan berjaya menyerap 4,500 pegawai perubatan kontrak ke jawatan tetap pada tahun ini. Malah, beliau berbangga dengan “pemberian lebih 18,500 pelantikan tetap” sejak tahun 2023, menyifatkannya sebagai penyerapan terbesar dalam sejarah.
Namun, realitinya di lapangan tidak semudah angka-angka tersebut. Menawarkan jawatan tidak bermaksud jawatan itu akan diisi.
Bagaikan sebuah pawagam besar yang menayangkan filem kurang popular kerusinya memang banyak disediakan, tetapi penontonnya tiada.
Pada tahun 2023, seramai 1,118 pegawai perubatan (merangkumi 20 peratus daripada tawaran) telah menolak pelantikan tetap ini dan tidak melaporkan diri untuk bertugas.
Kegagalan melapor diri  ini sangat ketara di beberapa buah negeri. Sebagai contoh, di Sarawak, 43 peratus doktor yang ditawarkan penempatan tetap tidak melapor diri. Di Sabah pula, Timbalan Menteri Kesihatan menjangkakan kadar ketidakhadiran boleh mencecah sehingga 50 peratus pada tahun ini.
Ke Mana Hilangnya Doktor Kita?
Golongan yang paling ramai meninggalkan KKM pada tahun 2024 ialah golongan doktor senior iaitu pegawai perubatan dan pakar dengan seramai 1,315 orang.
Walaupun KKM menganggap tawaran jawatan tetap sebagai insentif utama untuk mengekalkan doktor, nampaknya langkah ini tidak lagi cukup ampuh untuk memujuk mereka terus berkhidmat.
Terdapat cakap-cakap mengenai peningkatan rasa tidak puas hati dalam kalangan doktor awam akibat beban kerja yang semakin berat serta polisi baharu mengenai latihan kepakaran.
Jadi, ke mana mereka pergi? Ketika sektor awam sedang bergelut kehilangan ribuan doktor, sektor swasta pula meraih keuntungan tenaga kerja.
Pada tahun 2024, sektor swasta mencatatkan penambahan seramai 4,648 orang doktor baharu. Nampaknya, ramai ‘wira kesihatan’ kita memilih untuk berhijrah ke sektor swasta yang mungkin menawarkan persekitaran atau ganjaran yang lebih berbaloi.
Krisis Pelapis yang Meruncing
Masalah ini bukan sahaja tentang doktor yang sudah lama berkhidmat, tetapi kita juga sedang menghadapi krisis ‘saluran paip’ doktor baharu.
“Mana pergi barisan doktor pelapis kita?” keluh seorang pengamal perubatan.
Statistik menunjukkan jumlah doktor pelatih (housemen) di Malaysia telah jatuh merudum sebanyak 51 peratus—daripada paras tertinggi 13,136 orang pada tahun 2020 kepada hanya 6,406 orang pada 2024.
Lebih merisaukan, pada Januari tahun ini, daripada 5,000 slot latihan housemanship yang ditawarkan di seluruh negara, hanya 529 graduan perubatan yang tampil melaporkan diri.
Apa Kesannya Kepada Rakyat Biasa?
Kini, KKM dihimpit dari dua arah secara serentak: doktor berpengalaman yang semakin ramai menolak jawatan atau meletak jawatan, manakala kemasukan doktor pelatih baharu pula semakin surut saban tahun.
Kesannya? Pesakit seperti kita yang mula menanggung padahnya. Dua tahun selepas bermulanya penyusutan bersejarah ini, beberapa buah hospital kerajaan sudah pun melaporkan berlakunya gangguan perkhidmatan dan rawatan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Krisis penyusutan tenaga kerja perubatan awam ini bukanlah sekadar isu angka, ia adalah satu jeritan halus dari sistem kesihatan kita.
Jika tiada pendekatan yang benar-benar menyelami denyut nadi dan kebajikan para doktor ini, sistem penjagaan kesihatan awam kita mungkin akan terus kehilangan permata-permatanya yang paling berharga.