Satu insiden tragis melanda Kubang Pasu, Kedah apabila seorang lelaki berusia 31 tahun disahkan meninggal dunia pada Ahad lalu akibat jangkitan rabies.
Kejadian ini amat mengejutkan ramai kerana ia merupakan kes rabies manusia yang pertama dilaporkan di negeri berkenaan sejak tahun 1998.
Kronologi Gejala Dan Kesan Yang Mengancam Nyawa
Memetik laporan The Star, segalanya bermula pada Ogos lalu apabila mangsa digigit oleh seekor anjing liar di Kubang Pasu.
Walaupun mangsa sempat mendapatkan rawatan awal di fasiliti kesihatan sejurus kejadian, beliau dilaporkan tidak menerima suntikan pencegahan rabies atau Post-Exposure Prophylaxis (PEP).
Memasuki tanggal 18 September, mangsa mula merasakan keletihan, kelemahan badan dan rasa kebas pada bahagian lengan kanan.
Keadaan menjadi semakin kritikal menjelang hari Selasa berikutnya apabila timbul simptom klinikal rabies seperti kesukaran menelan, takut kepada air (hidrofobia), takut kepada angin (aerofobia), gelisah serta perubahan tingkah laku.
Mangsa kemudiannya dirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk rawatan lanjut. Sampel klinikal yang diambil pada Khamis lalu akhirnya disahkan positif rabies oleh ujian makmal dua hari kemudian, sebelum mangsa duka diumumkan meninggal dunia pada Ahad.
Siasatan Menyeluruh Menggunakan Pendekatan One Health
Susulan pengesahan kes ini, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah bersama Pejabat Kesihatan Daerah Kubang Pasu dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kedah telah menggerakkan tindakan kawalan secara menyeluruh di kawasan terjejas.
“Memandangkan ini adalah kes rabies manusia pertama di Kedah sejak 1998, pihak kami bersama agensi berkaitan sedang menjalankan siasatan epidemiologi secara komprehensif bagi mengenal pasti punca jangkitan serta laluan pendedahan kes ini,” jelas kenyataan rasmi jabatan tersebut.
Siasatan merangkumi analisis sejarah perjalanan mangsa, penilaian risiko, pengesanan kes aktif dan pengawalan populasi anjing liar.
Pendekatan ‘One Health’ turut diperkasakan bagi memastikan pemantauan rapi terhadap kes gigitan haiwan dapat dijalankan secara bersepadu.
Sehingga Ogos 2026, sebanyak 502 kes gigitan dan cakaran haiwan telah dilaporkan di Kedah. Daripada jumlah itu, 65.3 peratus melibatkan anjing, 23.1 peratus kucing dan 11.6 peratus haiwan lain, dengan 56.2 peratus daripadanya adalah haiwan peliharaan manakala 43.8 peratus lagi haiwan liar.
Langkah Kebersihan Asas Yang Boleh Menyelamatkan Nyawa
Pihak berkuasa mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan memastikan haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing mendapat suntikan anti-rabies secara berkala.
Sekiranya anda atau ahli keluarga digigit atau dicakar haiwan, langkah pertama yang amat kritikal adalah membasuh bahagian luka menggunakan sabun dan air mengalir sekurang-kurangnya selama 15 minit.
Selepas itu, segeralah mendapatkan pemeriksaan doktor di fasiliti kesihatan terdekat untuk penilaian risiko serta rawatan pencegahan yang sewajarnya.