Seorang lelaki warga Malaysia berusia 27 tahun, telah dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dua minggu selepas mengaku bersalah atas kesalahan di bawah Akta Penyakit Berjangkit.

Menurut laporan The Straits Times, lelaki itu berbohong kepada pihak berkuasa mengenai aktiviti seksualnya dan bertindak menderma darah yang didapati telah terdedah kepada HIV.

Baca Juga:

Menurut dokumen mahkamah, lelaki itu telah melakukan hubungan seksual dengan bekas teman wanita pada Februari 2020, tetapi tidak didedahkan butiran mengenai status HIV mereka pada masa itu.

Lelaki itu kemudiannya memutuskan untuk menderma darah pada Oktober 2020 dan dikehendaki melengkapkan soal selidik penilaian kesihatan penderma.

Dia ditanya sama ada dia melakukan hubungan seks dengan lebih daripada seorang pasangan dalam tempoh 12 bulan yang lalu dan jika dia pernah melakukan hubungan seks dengan lelaki lain, dia menjawab “tidak” untuk kedua-dua soalan.

Pemeriksa perubatan daripada kumpulan perkhidmatan darah Penguasa Sains Kesihatan (HSA) menemu bual lelaki itu selepas dia melengkapkan soal selidik dan memberi amaran kepadanya bahawa dia boleh didakwa jika mana-mana jawapan yang diberikan adalah palsu atau mengelirukan.

Walaupun diberi peringatan, lelaki itu tidak meminda jawapannya dan meneruskan rancangannya untuk menderma darah. Beliau juga tidak menghubungi talian hotline 24 jam selepas membuat sumbangan.

Darahnya kemudiannya diuji dan didapati dijangkiti HIV. Semasa temu bual berikutnya dengan doktor dari kumpulan perkhidmatan darah HSA, pesalah itu mengaku bahawa dia telah melakukan hubungan seks dengan lelaki lain.

Seorang pegawai kesihatan awam MOH datang bertemu dengannya tiga hari kemudian, dan dia memberitahu tentang aktiviti seksualnya. Penguatkuasa KKM juga telah dimaklumkan pada 11 Nov 2020, dan dia didakwa di mahkamah pada 2021.