Pengasas bersama platform penyediaan perkhidmatan penjagaan bayi, Kiddocare Sdn Bhd, Muhaini Mahmud, meninggal dunia di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi, pada petang Ahad.

Allahyarham Muhaini, 44, yang lebih dikenali sebagai Mui, meninggal dunia selepas ditidurkan bagi menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), susulan lemas semasa menyertai satu kejohanan triathlon Ironman di Langkawi pada hari sebelumnya.

Baca Juga:

Menerusi satu pengumuman dibuat melalui hantaran X Kiddocare, Mui memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk syarikat dari awal penubuhannya.

“Takziah kami ucapkan kepada keluarga, rakan dan orang yang beliau sayang. Walaupun beliau tidak lagi bersama kita, setiap langkah yang kami ambil di Kiddocare akan menjadi penghormatan kepada kehidupannya yang luar biasa.

“Bagi mereka yang ingin memberi penghormatan terakhir kepada Muhaini, anda boleh berbuat demikian di Masjid UTM Jalan Semarak, hari ini, 9 Oktober.

“Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang, Kuala Lumpur selepas Zohor,” petik hantaran X Kiddocare.