Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski memberi perkembangan terkini mengenai salah seorang pemain tengah iaitu Natxo Insa.
Sejak kem latihan pusat bermula sejak 17 Mac lalu, kelibat Insa tidak kelihatan dan perkara ini menimbulkan persoalan di kalangan peminat bola sepak tanah air.
Baca Juga:
- ‘Natxo Insa Layak Dipanggil’ – Tunku Mahkota Ismail
- Bos Buriram United Baca Jampi, Ini Pandangan Tunku Mahkota Ismail
- Tunku Mahkota Ismail Dedah Dua Kelab ‘Legend’ Tiada Musim Hadapan
Baru-baru ini, Cklamovski memaklumkan bahawa pemain berusia 38 tahun itu sedang menjalani proses pemulihan dari kecederaan yang dialami ketika beraksi bersama JDT dalam saingan ACL Elite.
Peter Cklamovski Yakin Insa Sempat Beraksi Bersama Malaysia

Tambah pengendali kelahiran Australia itu, sekiranya proses pemulihan berjalan lancar, Insa mungkin terlibat dalam aksi pertama kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada 25 Mac ini.
“Kedua-duanya (Insa dan Arif Aiman Hanapi) menjalani proses pemulihan. Kedua-duanya memiliki pelan pemulihan individu.
“Kalau situasi (kedua-duanya berjalan lancar), mereka akan menyertai pasukan dalam beberapa hari lagi,” kata Peter Cklamovski.

Tinjauan di laman media sosial menunjukkan peminat nyata kecewa kerana Insa kerap menjalani kecederaan setiap kali dipanggil bagi beraksi bersama skuad kebangsaan.
Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Duli Yang Amat Mulia, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor menyatakan Natxo Insa layak dipanggil bagi beraksi bersama skuad kebangsaan.
“Jika kita lihat statistiknya — sejauh mana dia berlari, intensiti tekanannya, hantarannya — menurut laporan Konfederasi Bola Sepak Asia, dia menduduki tempat pertama dalam peringkat liga. Jadi? Ini Natxo Insa, bukan Brendan Gan, okay?
“Di Malaysia, sesiapa yang menjilat media disayangi, tetapi mereka yang tidak menjadi mangsa. Jika pemain warisan dan bercakap dengan baik kepada media, dia dipuji, tetapi beberapa pemain ini tidak beraksi dengan baik.
“Sementara itu, mereka yang bermain dengan baik tidak mendapat kredit yang sepatutnya. Jika Insa tidak bagus, kenapa dia masih bermain di JDT? Kami masih mahukan dia kerana fakta, statistik, berapa kilometer dia berlari, dan kawasan yang dia liputi.
“Dia mungkin tidak sepantas pemain muda, tetapi dia perlu berada di sana. Pada saya, Insa masih boleh menyumbang,” kata Tunku Ismail.
Kali terakhir Natxo beraksi bersama pasukan negara ialah ketika perlawanan peringkat kumpulan temasya Piala Asia 2023 bertemu Bahrain yang menyaksikan Malaysia tewas dengan keputusan 1-0.
Aksi tersebut menjadi satu-satunya perlawanan yang mana Insa terlibat ketika temasya Piala Asia dimana beliau mendapat kritikan hebat dari penyokong ekoran prestasi hambar yang ditunjukkan.
Aksi menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) menjadi ujian pertama bagi Peter Cklamovski sebagai ketua jurulatih selepas menggantikan Kim Pan-gon yang meletak jawatan pada tahun lalu.
Skuad negara diperkuatkan oleh tiga pemain warisan iaitu Christian Abad, Hector Hevel dan Gabriel Palmero bagi menghadapi saingan kelayakan edisi kali ini.