Sukan tinju Olimpik dilanda kontroversi dengan tindakan petinju wanita Itali, Angela Carini yang meninggalkan gelanggang menentang lawannya Imane Khelif dari Algeria hanya selepas 46 saat tampil memohon maaf kepada lawannya dan menjelaskan keputusannya, lapor Yahoo News.

Khelif, salah seorang daripada dua atlet yang telah dibenarkan bertanding dalam acara tinju wanita di Paris, sebelum ini telah disingkirkan dari Kejohanan Dunia Wanita tahun lalu kerana gagal memenuhi kriteria kelayakan.

Namun, penyertaan Khelif dalam Sukan Olimpik kali ini tetap diteruskan setelah mendapat kebenaran daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Dalam wawancara bersama akhbar Itali, Gazzetta dello Sport, Carini, 25, menyatakan rasa kesalnya terhadap cara dia mengendalikan situasi selepas pertarungan itu.

“Semua kontroversi ini buat saya sedih,” katanya. “Saya juga mahu minta maaf kepada lawan saya. Jika IOC kata dia boleh bertanding, saya hormati keputusan itu.”

Carini menjelaskan bahawa meninggalkan pertarungan adalah langkah matang yang perlu diambil, namun dia sesal kerana tidak berjabat tangan dengan Khelif selepas pertarungan.

“Ia bukan sesuatu yang saya niat untuk buat,” katanya lagi. “Sebenarnya, saya ingin memohon maaf kepada dia dan semua orang. Saya marah kerana Olimpik saya berakhir begitu sahaja.”

Carini juga menambah bahawa jika dia bertemu Khelif lagi, dia akan “memeluknya”.

Pertarungan yang berlangsung pada hari Khamis itu menyaksikan Carini diserang bertalu-lalu dalam masa 30 saat pertama sebelum kembali ke sudut untuk membetulkan pelindung kepala dengan bantuan jurulatihnya.

Selepas perlawanan disambung, dia sekali lagi kembali ke sudut dan memberhentikan pertarungan.

Carini memberitahu BBC Sport bahawa keputusan itu diambil demi keselamatan dirinya.

“Ia boleh jadi perlawanan seumur hidup, tetapi saya perlu menjaga keselamatan diri saya juga pada ketika itu,” katanya.

Khelif yang mempunyai rekod panjang mengenai penglibatannya dalam kategori wanita, diiktiraf oleh IOC sebagai wanita.

Namun, ujian yang dijalankan oleh Persatuan Tinju Antarabangsa (IBA) yang diketuai Rusia tahun lalu mendapati Khelif gagal memenuhi kriteria kelayakan untuk bertanding dalam kategori wanita mengikut peraturan IBA.

Jurucakap IOC, Mark Adams, menegaskan bahawa petinju Imane Khelif adalah seorang wanita sejak lahir dan didaftarkan sebagai wanita sepanjang hidupnya.

“Peninju Algeria itu dilahirkan sebagai wanita, didaftarkan sebagai wanita, menjalani kehidupan sebagai wanita, bertinju sebagai wanita, dan mempunyai pasport wanita,” katanya.