Dalam salah satu pertarungan paling kontroversi dalam sejarah Olimpik, petinju wanita Itali, Angela Carini, jatuh ke lantai dan menangis selepas perlawanan menentang lawan dari Algeria yang didakwa sebagai ‘lelaki’.

Menurut Front Page, pertarungan yang hanya berlangsung selama 46 saat itu berakhir apabila Carini menerima dua tumbukan kuat yang menyingkirkannya daripada perlawanan tersebut.

Angela Carini, 25, menentang Imane Khelif, 25, yang sebelum ini diharamkan daripada pertandingan tinju utama sebelum Olimpik.

Selepas pertarungan dihentikan, pengadil mengangkat tangan Khelif sebagai tanda kemenangan.

Namun, Carini yang jelas marah menarik balik tangannya daripada pegawai perlawanan sebelum keluar dari gelanggang tanpa berjabat tangan dengan lawannya.

Petinju Itali itu kemudiannya jatuh berlutut dan menangis sambil menyatakan bahawa beliau tidak pernah merasakan tumbukan sekuat itu dalam mana-mana pertandingan sebelum ini.

Dalam kenyataannya selepas perlawanan, Carini yang kecewa menyatakan, “Saya sentiasa mengharumkan nama negara dengan setia. Kali ini saya tidak berjaya kerana saya tidak dapat bertarung lagi. Jadi saya hentikan perlawanan ini.”

Beliau menegaskan bahawa keputusan untuk tidak meneruskan perlawanan bukan sebagai protes terhadap penyertaan lawannya, tetapi keputusan itu perlu dipertimbangkan oleh pihak Olimpik.

Carini dibawa untuk pemeriksaan perubatan bagi menilai kecederaan di wajahnya yang termasuk luka dibahagian hidungnya.

Kejadian ini menarik perhatian ramai kerana Khelif sebelum ini disingkirkan daripada kejuaraan dunia tahun lepas selepas gagal dalam satu ujian testosteron yang dilakukan untuk menentukan kelayakan jantina.

Walaupun mengalami masalah ujian jantina, Khelif diterima ke Olimpik di Paris 2024 di tengah-tengah kontroversi besar.

Pegawai Olimpik menyatakan beliau sebagai wanita dalam biografi rasmi Sukan Olimpik.