Selebriti terkenal Indonesia, Pevita Pearce, kini sah menjadi isteri kepada seorang ahli perniagaan Malaysia, Mirzan Meer.
Majlis pernikahan yang berlangsung secara tertutup ini diadakan pada Ahad, 20 Oktober 2024, di kediaman peribadi mereka dengan kehadiran keluarga dan sahabat terdekat sahaja.
Pevita, yang berusia 32 tahun, berkongsi momen istimewanya itu di Instagram dengan penuh rasa bahagia.
Dalam foto yang dimuat naik, Pevita dan Mirzan kelihatan anggun dalam busana pengantin adat Melayu berwarna putih.
Dalam kapsyennya, Pevita menulis, “Hari ini, dalam balutan cinta yang damai, dikelilingi orang-orang yang paling berharga, kami menjadi satu,” yang mencerminkan betapa istimewanya hari tersebut bagi pasangan ini.
Ramai netizen tertanya-tanya mengenai siapa sebenarnya lelaki “M” yang berjaya menawan hati Pevita.
Ternyata, dia adalah Mirzan Meer, seorang usahawan muda kelahiran Malaysia.
Menurut iNews, berdasarkan maklumat dari laman LinkedIn dan beberapa laporan lain, Mirzan adalah pengasas Edunia Creative, sebuah agensi kreatif yang berpusat di Kuala Lumpur.
Bukan itu sahaja, Mirzan turut berasal dari keluarga usahawan terkenal di Malaysia.
Keluarga beliau adalah pemilik Habib Group, yang terkenal dengan perniagaan perhiasan berlian melalui jenama Habib Jewels.
Ayahnya, Dato’ Sri Meer Sadik Habib, adalah individu yang kini mengetuai syarikat tersebut.
Selain terlibat dalam perniagaan keluarganya, Mirzan juga aktif dalam menguruskan Time Zone, perniagaan jam tangan mewah sebagai pengarah eksekutif.
Malah, beliau turut menceburi bidang makanan dan minuman dengan memimpin Peep Coffee, jenama kopi yang sedang berkembang pesat.
Untuk rekod, perkahwinan Pevita Pearce dan Mirzan berlangsung hanya seminggu selepas pernikahan abang Pevita, Keenan Pearce, yang berkahwin dengan Tasha Serena.
Keenan sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Ghyan, namun mereka telah berpisah.
Majlis pernikahan kedua-dua adik-beradik ini menjadi perhatian ramai di media sosial, sekaligus menambah kemeriahan keluarga Pearce dalam tempoh waktu yang singkat.