Pasukan Malaysia kehilangan beberapa pemain menjelang perlawanan ketiga peringkat kumpulan saingan Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 menentang Thailand pada 14 Disember ini.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente mengesahkan tiga pemain iaitu Fergus Tierney, Darren Lok dan Syafiq Ahmad mengalami kecederaan ketika beraksi menentang Timor Leste dan mungkin tidak akan terbang ke Bangkok.

Baca Juga:

Selain itu, dua pasukan iaitu Sabah dan Selangor dikhabarkan mahu memanggil pemain mereka kembali ke kelab bagi menghadapi aksi Piala Malaysia dan juga Liga Super.

Sekiranya dua pasukan ini memanggil semula pemain mereka, skuad kebangsaan akan turun tanpa kelibat Dominic Tan, Stuart Wilkin, Daniel Ting, Harith Haiqal dan Kalamullah Al-Hafiz.

“Ada tiga pemain yang mengalami kecederaan. Dan saya rasa sukar untuk pemain kekal fokus dengan skuad kebangsaan apabila kelab panggil mereka untuk kembali.

“Para pemain memberikan yang terbaik dengan keadaan sedia ada. Kini kita berada di tangga teratas dan masih mempunyai peluang untuk mara ke peringkat seterusnya.

“Keadaan ini bukan satu perkara yang baik. Tetapi sesiapa saja yang berangkat ke Thailand akan memberikan yang terbaik,” katanya ketika sidang media selepas perlawanan.

Pada perlawanan menentang Timor Leste, Pau Marti tidak dapat menggunakan khidmat ketua pasukan, Syamer Kutty Abba dan Adib Ra’op selepas dua pemain ini beraksi bersama Penang FC dalam saingan Piala Cabaran.

Dalam perlawanan semalam, Malaysia hampir dimalukan di laman sendiri selepas Timor Leste berada di hadapan ketika rehat separuh masa pertama.

Paulo Josue muncul sebagai wira selepas menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua sekaligus membolehkan skuad Harimau Malaya meraih kemenangan pertama dalam saingan edisi kali ini.