Pasukan Malaysia akan turun berdepan Thailand dalam aksi ketiga peringkat kumpulan A saingan Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 dimana perlawanan tersebut bakal diadakan di gelanggang keramat pasukan lawan iaitu Stadium Rajamangala.

Malaysia dan Thailand masing-masing menduduki tangga pertama dan kedua dalam kumpulan A dan kedua-dua pasukan mencari kemenangan bagi memastikan peluang cerah untuk mara ke peringkat separuh akhir.

Baca Juga:

Skuad bimbingan Pau Marti Vicente berdepan dengan masalah kekurangan pemain ekoran isu kecederaan dan ada pemain yang tidak mendapat pelepasan dari kelab.

Antara pemain yang tidak dibawa kerana mengalami kecederaan ialah Syafiq Ahmad yang terpaksa dikeluarkan pada separuh masa pertama ketika menentang Timor Leste manakala empat pemain dari pasukan Sabah iaitu Daniel Ting, Dominic Tan, Stuart Wilkin dan Darren Lok tidak dilepaskan oleh kelab.

Situasi ini memberi kesukaran untuk Pau Marti menurunkan pemain terbaik dimana beliau hanya mempunyai 21 pemain yang dibawa ke Bangkok bagi menghadapi perlawanan ini.

Berikut adalah ramalan kami mengenai kesebelasan utama yang mungkin diturunkan oleh Pau Marti menentang Thailand.

Penjaga Gol: Kalamullah Al-Hafiz

Pertahanan: Jimmy Raymond, Harith Haiqal, Khuzaimi Piee, Adip Ra’op

Pemain Tengah: Daniel Amier, Endrick Dos Santos, Syamer Kutty Abba (Kapten)

Penyerang: Haqimi Azim, Paulo Josue, Sergio Aguero

Skuad Harimau Malaya akan menerima kunjungan seteru dari seberang tambak iaitu Singapura pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan dan mereka tidak boleh keciciran mata dalam dua perlawanan ini sekiranya mahu layak ke peringkat separuh akhir.

Kali terakhir Malaysia gagal melepasi saingan peringkat kumpulan Piala AFF ialah pada edisi 2020 dimana ketika itu pasukan negara gagal melepasi kumpulan B yang diisi oleh Indonesia, Vietnam, Laos dan Kemboja.