Thailand mengambil kesempatan atas kesilapan mudah dilakukan penjaga gol Malaysia untuk meraih kemenangan 1-0 pada aksi peringkat kumpulan Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024 yang berlangsung di Stadium Rajamangala, sebentar tadi.
Ia merupakan kemenangan kedua berturut-turut dilakarkan Thailand manakala Malaysia pula mengalami kekalahan pertama selepas mencatatkan satu kemenangan dan satu keputusan seri sebelum ini.
Baca Juga:
- Piala ASEAN 2024: Malaysia Hampir Dimalukan, Catat Kemenangan Tipis 3-2 Ke Atas Timor-Leste
- Piala ASEAN 2024: Malaysia Sekadar Seri Bertemu Kemboja
- Piala ASEAN 2024: Info Siaran Langsung Thailand vs Malaysia (Live Streaming)
Selepas kehilangan barisan pemain Sabah yang kembali ke pangkuan pasukan mereka, Pau Marti Vicente meletakkan Ahmad Khuzaimi Piee untuk bergandingan dengan Harith Haiqal Adam Afkar di posisi pertahanan tengah.
Manakala, Syameer Kutty Abba dan Adib Ra’op turut diturunkan sebagai pemain kesebelasan utama selepas mereka tiada dalam skuad bertemu Timor-Leste tempoh hari.
Mendapat sorakan padu penyokong, Thailand bermula dengan cukup baik dengan mencipta beberapa gerakan berbahaya.
Anak buah Masatada Ishii mengasak gawang skuad negara seawal minit pertama menerusi Peeradol Chamratsamee tetapi percubaan pemain tengah itu dari luar kawasan penalti ditangkap kemas Haziq Nadzli.
Beberapa peluang dijelmakan selepas itu juga digagalkan ketumpulan jentera serangan Thailand yang diketuai Patrik Gustavsson.
Malaysia yang dapat mengimbangi aksi dengan baik pada babak pertama turut mencipta peluang, namun rembatan jarak jauh Fazrul Amir Md Zaman dan Endrick dos Santos sekadar meliar.
Kem tuan rumah melonjak kegembiraan pada minit ke-57 apabila Patrik mengambil kesempatan susulan kesilapan Haziq yang melakukan sepakan terkena Suphanat Mueanta.
Patrik yang mendapat hantaran Suphanat dalam kawasan penalti skuad negara tidak berdepan masalah untuk menolak masuk bola bagi meletakkan Thailand dihadapan.
Tersentak dengan jaringan itu, skuad negara memperkemaskan aksi dan meningkatkan intensiti permainan untuk menekan Thailad. Usaha mereka hampir menyamakan untuk kedudukan pada minit ke-68 menerusi Endrick dos Santos.
Bagaimanapun, percubaan voli cantik dilakukan Endrick selepas menerima lorongan Jimmy Raymond berjaya diselamatkan dengan baik penjaga gol Thailand, Patiwat Khammai.
Pau Marti membawa masuk Paulo Josue, Fergus Tierney, Daniel Amier Norhisham, G. Pavithran, Najmudin Akmal dan Daryl Sham untuk mendapatkan jaringan penyamaan tetapi ia masih belum mampu untuk menghalang kemenangan buat skuad Gajah Perang itu.
Dengan kekalahan tersebut, skuad negara kini menghuni tangga ketiga dengan empat mata diraih, dua mata dibelakang Thailand dan Singapura yang terikat dengan enam mata.
Aksi terakhir buat skuad negara bakal berlangsung pada 20 Disember nanti dimana mereka akan berdepan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil.