Skuad negara bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan Timor-Leste 3-2 pada aksi kedua Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Ia merupakan kemenangan sulung buat skuad negara selepas seri 2-2 ketika bertemu Kemboja tempoh hari.

Baca Juga:

Malaysia hampir tersentak seawal minit kedua berpunca daripada salah faham antara penjaga gol, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi dan pemain pertahanan, Harith Haiqal Adam Afkar.

Namun, Joao Pedro yang melakukan percubaan susulan keadaan kelam-kabut dalam kawasan penalti Malaysia itu gagal menyempurnakan peluang terhidang.

Walaupun tidak diletakkan sebagai pasukan pilihan, Timor-Leste bagaimanapun dilihat lebih selesa mengawal bola dan ternyata Joao Pedro nyata cukup lincah sepanjang perlawanan.

Manakala skuad negara pula bergelut untuk mempamerkan aksi terbaik mereka dimana Pau Marti Vicente melakukan beberapa pertukaran di kesebelasan utamanya.

Namun, keadaan itu tidak menghalang Malaysia untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-38 menerusi Muhammad Syafiq Ahmad.

Gol tersebut hadir selepas Syafiq menolak masuk bola selepas menerima hantaran cantik dari Fergus Tierney bagi memberikan kelebihan buat Harimau Malaya.

Ketika aksi babak pertama memasuki masa kecederaan, kelincahan serta kederasan larian Joao Pedro nyata menjadi duri dalam daging buat skuad negara.

Bekas pemain import UiTM FC itu melakukan larian pantas di sebelah kanan pintu gol skuad negara dan hantaran lintangnya tepat mencari Olagar Fernando Malik Xavier.

Olagar berada di kedudukan yang tepat untuk menolak masuk bola bagi kembali mengikat kedudukan.

Dua minit kemudian, Pedro melakukan gerakan solo hasil serangan pantas yang gagal dipatahkan pertahanan Malaysia lalu percubaannya dalam kawasan penalti berjaya menewaskan Kalamullah.

Ketinggalan 1-2 pada babak pertama menyebabkan barisan pemain negara di’boo para penyokong yang hadir.

Tidak mahu dipalit dengan kekalahan bersejarah ke atas lawan tersebut, Malaysia tampil dengan lebih baik pada kedua dimana lebih banyak mencipta serangan.

Usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-70 apabila Paulo Josue menyamakan kedudukan hasil percubaan kaki kiri dalam kawasan penalti setelah menerima umpanan Endrick Dos Santos.

Endrick kemudiannya mendapat peluang terbaik untuk mendapatkan jaringan tetapi percubaan volinya diselamatkan penjaga gol Timor-Leste, Junildo Pereira dan tandukkannya pula hanya sedikit melewati palang gol.

Jaringan kemenangan skuad negara menjelma pada minit ke-83 setelah tandukan Josue tidak mampu diselamatkan Pereira.

Walaupun aksi skuad negara jelas mengundang kritikan ramai tetapi kemenangan diraih amat penting dalam usaha untuk memburu tempat ke separuh akhir.

Skuad negara selepas ini akan terbang ke Bangkok untuk perlawanan ketiga bertemu Thailand di Stadium Rajamangala pada Sabtu ini.