Malaysia memulakan kempen Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024 dengan kurang meyakinkan selepas terikat 2-2 kepada Kemboja pada aksi yang berlangsung di Stadium Olimpik Phnom Penh sebentar tadi.
Berdepan tuan rumah yang kini berwajah baharu, Malaysia jelas tidak diberikan laluan mudah pada perlawanan pembukaan ini.
Ia jelas dapat disaksikan dengan penguasaan bola kelihatan cukup seimbang sepanjang perlawanan.
Malaysia berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-35 selepas tandukan terbang dilakukan Stuart Wilkin ketika menerima hantaran lintang Daniel Ting gagal diselamatkan penjaga gol Kemboja, Dara Vireak.
Malaysia mendapat peluang terbaik untuk menambah jaringan tetapi percubaan Endrick diselamatkan Vireak untuk Malaysia memegang kelebihan satu gol pada waktu rehat.
Penyokong tuan rumah melonjak kegembiraan pada minit ke-52 apabila Abdel Kader Coulibaly mudah menolak masuk bola berpunca daripada kesilapan pemain pertahanan, Jimmy Raymond yang gagal mengawal bola dengan baik.
Skuad negara terus tersentak berselang lapan minit kemudian setelah pemain gantian, Sa Ty mengambil kesempatan tidak dikawal ketika situasi sepakan penjuru untuk membolehkan Kemboja mendahului 2-1.
Langkah Pau Marti Vincente membawa masuk Fergus Tierney bagi menggantikan Paulo Josue jelas membuahkan hasil selepas rembatan leret dari jarak jauh penyerang muda itu pada minit ke-74 kembali menyamakan kedudukan.
Usaha Malaysia bagi mendapatkan jaringan kemenangan tidak berhasil untuk skuad Harimau Malaya sekadar berpuas hati dengan satu mata.
Malaysia akan kembali ke Stadium Nasional Bukit Jalil untuk pertemuan menentang Timor-Leste pada aksi kedua, Rabu nanti.