Malaysia gagal menggunakan kelebihan seorang pemain untuk mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan ketika aksi kedua Piala ASEAN FIFA 2026 bertemu Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta sebentar tadi
Tan Cheng Hoe hanya membuat satu pertukaran pada perlawanan ini dengan meletakkan Ahmad Syihan Hazmi bagi menggantikan Haziq Nadzli dan mengekalkan kesemua pemain ‘outfield’.
Penyokong Indonesia melonjak kegembiraan seawal minit keempat permainan selepas Justin Hubner berjaya mengegarkan jaringan skuad negara.
Namun, jaringan itu dibatalkan selepas pemain pertahanan itu terlebih dahulu dikesan melakukan kekasaran terhadap Bradd Tapp dalam kawasan penalti.
Beraksi di hadapan ribuan penyokong tuan rumah tidak langsung menggentarkan barisan pemain negara yang tampil dengan cukup baik.
Ia dibuktikan dengan percubaan Arif Aiman Hanapi pada minit ke-12 susulan larian derasnya dalam kawasan penalti melepasi Hubner, tetapi rembatannya dari sudut sukar ditepis keluar penjaga gol Indonesia, Maarten Paes.
Empat minit kemudian, hantaran Faisal Halim yang terus menuju gawang serta percubaan Nooa Laine dari luar kawasan penalti pada minit ke-28 diselamatkan penjaga gol Ajax Amsterdam itu.
Indonesia kemudiannya terpaksa bermain dengan 10 pemain pada minit ke-37 selepas Thom Haye dilayangkan kad merah susulan kekasaran dilakukannya terhadap Arif Aiman selepas pengadil melakukan rujukan Video Assistant Referee (VAR).
Skuad Garuda yang lebih banyak ditekan mendapat peluang untuk menghasilkan jaringan pada masa kecederaan babak pertama, bagaimanapun rembatan leret dalam kawasan penalti oleh Dean James digagalkan Ahmad Syihan Hazmi.
Aksi di babak kedua juga menyaksikan skuad kendalian Tan Cheng Hoe lebih menguasai permainan dan mencipta peluang ke arah pintu gol Indonesia.
Namun, kuisan Fergus Tierney di hadapan pintu gol selepas menerima umpanan cantik daripada Bergson da Silva sekadar melewati palang pada minit ke-74.
Situasi kelam-kabut dihadapan pintu gol Indonesia ketika situasi sepakan penjuru pula gagal disudahkan dengan baik Syahmi Safari untuk kedudukan kekal 0-0 hingga wisel penamat ditiupkan.
Dengan keputusan tersebut, skuad negara kekal di tangga teratas dengan empat mata untuk terikat dengan Indonesia tetapi Harimau Malaya memiliki kelebihan perbezaan jaringan.