Skuad Double Malaysia mudah meraih kemenangan pertama selepas berjaya menundukkan Nepal pada aksi peringkat kumpulan Kejohanan Sepaktakraw Piala Asia 2025, sebentar tadi.
Duo juara Piala Dunia ISTAF 2024, Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Aidil Aiman Azwawi sambil dibantu Muhammad Redwan Hakim Muhammad jelas berada di kelas tersendiri.
Baca Juga:
- Info Siaran Langsung Sepaktakraw Piala Asia 2025
- Piala Asia 2025: Jadual Penuh Aksi Skuad Sepaktakraw Malaysia
- Senarai Pemain Malaysia Dalam Kejohanan Sepaktakraw Piala Asia 2025
Malaysia mendahului Nepal dengan jurang 6-1 pada peringkat awal tetapi Dipesh Jung Thapa dan Anil Jarga Magar bangkit melawan dengan empat mata berturut-turut.
Tersentak dengan kebangkitan cuba dijelmakan lawan, Noraizat dan Aidil memperkemaskan aksi untuk menang set pertama dengan mata 15-7.
Rentak positif itu dikekalkan pada set kedua walaupun Noraizat digantikan dengan Redwan Hakim untuk skuad negara mengesahkan kemenangan 15-5.
Walaupun cabaran diberikan Nepal tidak begitu hebat, kemenangan yang dicatatkan penting buat barisan pemain untuk menyuntik keyakinan mereka menjelang aksi kedua bertemu Thailand, malam ini.
Cabaran Seterusnya Buat Skuad Malaysia
Sebentar lagi skuad Quadrant akan turun menentang China pada jam 3.30 petang dan Filipina (8.00 malam).
Adakah skuad negara mampu terus cemerlang dalam dua kategori ini? Aksi penuh dramatik bakal disajikan sepanjang hari di Kejohanan Sepaktakraw Piala Asia 2025.