Malaysia menepati sasaran mara ke final acara berpasukan Kejohanan Sepaktakraw Piala Asia 2025 selepas menewaskan India 2-0 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur sebentar tadi.
Ketua jurulatih, Ahmad Jais Baharun meletakkan harapan buat Syahir Rosdi (tekong), Azlan Alias (perejam) dan pengumpan, Amirul Zazwan Amir tidak terlalu berdepan masalah untuk menghadiahkan mata pertama buat skuad negara.
Trio yang cukup berpengalaman itu mudah menundukkan Wahengbam Henary Singh selaku tekong, Bobby Kumar (perejam) dan Ram Kumar Sharma (pengumpan) dengan kemenangan ‘straight set’ 15-8, 15-6.

Regu kedua pula menyaksikan Haziq Hairul Nizam (tekong), Noraizat Nordin (perejam) dan Farhan Adam (pengumpan) diberikan tentangan oleh Arun (tekong), Yumnam Akash (perejam) dan pengumpan, Sorokhaibam Malemnganba Singh.
Namun, ia tidak merentap semangat juang trio negara untuk mengesahkan kemaraan ke pentas final dengan kemenangan 15-8 , 15-5.
Final Regu Berpasukan
Menanti skuad negara di final pada 4.00 petang nanti ialah pemenang antara Thailand dan Korea Selatan yang beraksi dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Thailand ketika ini sedang mendahului 1-0 dan regu kedua memenangi set pertama dengan 15-4.
Berdasarkan rekod, skuad negara berdepan kesukaran untuk menewaskan Thailand dalam acara regu berpasukan.
Namun dengan semangat juang diberikan penyokong, tidak mustahil satu lagi sejarah mampu untuk dilakarkan kem Malaysia pada petang ini.