Kejutan dilakarkan pada pusingan 16 Piala Dunia Futsal 2024 apabila tiga pasukan yang berada di empat ranking teratas dunia terpaksa pulang awal daripada persaingan.

Hal ini kerana juara bertahan, Portugal telah ditunjukkan jalan keluar dengan cukup memeritkan dimana skuad kendalian Jorge Braz itu tewas 1-2 kepada Kazakhstan.

Baca Juga:

Lebih sakit untuk diterima kem pasukan ranking kedua dunia itu ialah mereka dibolosi hanya beberapa saat sebelum aksi bakal berlanjutan ke masa tambahan.

Portugal yang juga merupakan juara Eropah ketinggalan pada minit ke-10 hasil jaringan Chingiz Yessenamanov. Namun tonggak pasukan, Zicky kembali menyamakan kedudukan 10 minit kemudian.

Ketika pemain kedua-dua pasukan semakin menghampiri aksi masa tambahan, Dauren Tursagulov menjadi wira buat Kazakhstan untuk membawa negaranya ke suku akhir.

Skrip sama berlaku pada aksi yang terlebih dahulu berlangsung kelmarin selepas Sepanyol turut dibolosi pada lewat permainan ketika bertemu Venezuela.

Dibolosi pada minit ke-12, Sepanyol kemudiannya kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-23 menerusi gol Raul Gomez.

Sedikit kealpaan jelas berjaya dihukum Venezuela untuk menghantar pasukan ranking ketiga dunia itu pulang hasil jaringan berharga Victor Carreno pada minit ke-38.

Satu lagi pasukan yang menerima kejutan adalah gergasi Asia yang menduduki ranking keempat dunia iaitu Iran.

Anak buah Vahid Shamsaee itu beraksi agak hambar pada babak pertama hingga mereka ketinggalan 1-4 dan cuba bangkit pada babak kedua.

Bagaimanapun, kebangkitan hebat cuba dilakukan Iran tidak berjaya yang menyaksikan mereka turut memiliki sepakan penalti kedua (second spot) pada saat-saat akhir permainan tetapi bola sekadar terkena tiang gol

Satu keadaan yang jelas mengecewakan untuk menghadiahkan kemenangan 4-3 buat wakil Afrika tersebut.

Keputusan mengejut dilakarkan pada saingan Piala Dunia Futsal 2024 yang diadakan di Uzbekistan itu nyata cukup menarik untuk memperkatakan tentang kualiti futsal pada ketika ini.

Sudah tiada lagi dominasi hanya negara-negara terkenal dan kini bakal muncul kuasa baharu sukan lima berpasukan itu.