Malaysia mencipta sensasi dalam acara Double kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 selepas berjaya mengejutkan Thailand untuk muncul juara dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Mendapat sokongan padu ribuan peminat yang membanjiri stadium jelas menyemarakkan api perjuangan gandingan Muhammad Noraizat Nordin dan Aidil Aiman Azwawi.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Malah, ia turut membuatkan Seksan Tubtong dan Kittiphum Sareebut berada dalam keadaan tertekan terutamanya pada peringkat awal set pertama.

Ia jelas dibuktikan dengan tiga servis dilakukan Seksan dan Kitthipum pada tujuh mata awal tersangkut di jaring.

Keadaan itu membolehkan Noraizat dan Aidil mendahului dengan cukup selesa 10-3. Namun, gandingan Thailand itu bangkit memperkemaskan aksi hingga berjaya mengikat kembali kedudukan 14-14.

Aksi sengit berterusan hingga ke mata terakhir yang menyaksikan Malaysia mencuri set pertama dengan kemenangan 17-16.

Kemenangan tersebut jelas meningkatkan lagi moral anak buah Mohammad Zulkarnain Mohamed Arif itu untuk mengekalkan konsistensi dalam permainan.

Momentum cemerlang itu diteruskan oleh Noraizat dan Aidil untuk memastikan sejarah berharga menjadi milik Malaysia dengan menumpaskan Thailand dengan kemenangan 15-13.

Misi untuk terus melakar kejutan akan berlarutan sebentar lagi apabila kedua-dua negara akan bertemu sesama sendiri bagi acara Regu.