Skuad regu Malaysia meneruskan kisah indah dalam kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 apabila muncul juara setelah menundukkan gergasi dunia, Thailand pada aksi final di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur sebentar tadi.
Aura kemenangan yang dilakarkan barisan pemain skuad Double sebelum perlawanan ini jelas meresap ke dalam jiwa Syahir Rosdi (Tekong), Azlan Alias (Perejam) dan Farhan Adam (Pengumpan).
Trio utama negara itu membuktikannya dengan aksi kemas terutamanya menerusi variasi servis menarik dijelmakan oleh Syahir serta rejaman berbisa Azlan.
Keadaan yang membuatkan Thailand berdepan masalah walaupun dibarisi oleh pemain berpengalaman iaitu Sittipong Khamchan (Tekong), Varayut Jantarasena (Perejam) dan Poramet Siriswat (Pengumpan).
Malah, Sittipong juga kelihatan cukup bergelut untuk mendapatkan mata menerusi servis dimana tiga servisnya pada set pertama keluar dan memaksa beliau digantikan dengan Siriwat Sakha buat seketika.
Kesempatan itu digunakan sebaik-baiknya oleh pemain skuad negara untuk memenangi set pertama dengan jurang mata 15-8.
Momentum cemerlang anak buah Ahmad Jais Baharun diteruskan pada set kedua untuk memastikan pesta Malaysia berterusan dengan kemenangan mutlak 15-12.
Ia merupakan kali pertama Malaysia berjaya menundukkan Thailand dimana kali terakhir ia berlaku pada perlawanan akhir acara Regu dalam Siri Super Istaf Malaysia 2015 di Melaka.