Selangor berpesta di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya selepas membelasah Negeri Sembilan 4-0 pada aksi pusingan pertama Piala FA 2024/25 yang berlangsung sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan Selangor bakal berdepan Kuching City di peringkat suku akhir yang akan diadakan secara timbal balik.
Baca Juga:
- Piala FA 2024/25: Malaysian University Penuh Bergaya Singkirkan PDRM
- Piala FA: Waktu Sepak Mula Aksi Kedah-BTFC Ditukar Jam 9 Malam
- Piala FA: Sepak Mula Pukul 6:30 Petang Terima Kecaman Peminat
Anak buah Nidzam Jamil hanya memerlukan empat minit untuk membuka tirai jaringan pada perlawanan ini menerusi Yohandry José Orozco.
Pemain kelahiran Venezuela itu melakukan kuisan lambung yang menewaskan penjaga gol, Syahmi Adib Haikal Mohd Shukri setelah menerima hantaran jauh Alexander Agyarkwa Ameyaw.
Kedudukan berubah berselang 10 minit kemudian selepas Orozco sekali lagi dengan tenang memintas hantaran ke belakang oleh Aliyu Audu Abu Bakar untuk sekali lagi menewaskan Syahmi Adib.
Memasuki minit ke-23, Negeri Sembilan menguji gawang Selangor menerusi Miguel Angel Junco Martinez, tetapi rembatan leret penyerang tersebut hanya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol.
Kem Selangor terus melonjak kegembiraan pada minit ke-44 selepas Alvin Mateus Fortes yang mendapat lorongan cantik Nooa Laine, tidak mensia-siakan peluang terhidang dengan satu percubaan ‘placing’ bagi menjadikan kedudukan 3-0.
Selangor terlepas peluang untuk menambah satu lagi gol pada minit ke-65 selepas Syahmi Adib cemerlang menafikan sepakan penalti Ronnie Fernandez Saez.
Kekecewaan itu ditebus Fortes berselang dua minit kemudian untuk mengesahkan kemenangan 4-0 bagi membawa Selangor ke suku akhir.
Ia merupakan kekalahan kali kedua berturut-turut dengan defisit jaringan sama dialami Negeri Sembilan dimana sebelum ini mereka tumpas kepada Selangor dalam kempen Liga Super.