Chelsea melangkah ke final Piala FA 2025/26 selepas menang 1-0 ke atas Leeds United pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Wembley malam tadi.
Kemenangan itu jelas menjadi pengubat duka buat Chelsea yang semakin menjauh dengan slot ke UEFA Champions League (UCL) musim hadapan susulan lima kekalahan berturut-turut dialami.
Tandukan Enzo Fernandez setelah menerima hantaran lintang dari Pedro Neto sudah cukup untuk membawa The Blues ke pentas final untuk berhadapan dengan finalis musim lalu, Manchester City.
City turut tidak diberikan laluan di separuh akhir selepas menang 2-1 ketika berdepan lawan dari EFL Championship, Southampton.
Tersentak dengan jaringan Finn Azaz pada minit ke-79, The Cityzens pantas bangkit untuk menyamakan kedudukan berselang tiga minit kemudian menerusi Jeremy Doku.

Nico Gonzalez muncul wira Manchester City selepas menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-87.
Debaran Final Piala FA
Aksi final Chelsea dan Manchester City bakal berlangsung di Wembley pada 16 Mei nanti.
Aksi tersebut bakal menjadi tumpuan utama peminat bola sepak England, dengan kedua-dua pasukan mempunyai misi besar untuk menamatkan musim dengan trofi berprestij.
Bagi Chelsea, kejayaan mara ke final memberi nafas baharu selepas prestasi tidak menentu dalam saingan liga, sekali gus membuka peluang untuk menebus kekecewaan dan memastikan mereka tidak menamatkan musim tanpa kejuaraan.
Apa yang pasti, final ini menjanjikan aksi sengit antara dua gergasi bola sepak England dalam perebutan kejuaraan Piala FA 2025/26.