Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan selaku pasukan pilihan apabila berpesta gol belasah pasukan Liga A1 Semi Pro, Malaysian University 5-0 pada aksi suku akhir pertama Piala FA 2024-2025 di Stadium Sultan Ibrahim hari ini.

Walaupun beraksi tanpa dua penyerang berbisa, Bergson Da Silva dan Fernando Forestieri, Harimau Selatan mendominasi sejak di awal perlawanan.

Baca Juga:

Pengendali JDT, Hector Bidoglio tampak menampilkan skuad kedua tanpa beberapa tonggak utama dengan Junior Eldstal kembali beraksi mengemudi benteng pertahanan bersama Shahrul Saad.

Malah, mereka membuka akaun jaringan seawal minit kedua menerusi Corbin Ong yang merembat kencang selepas menerima lorongan cantik daripada Syahmi Safari.

Malaysian University pula memilih untuk berkampung di kawasan sendiri dan jarang melakukan serangan berbahaya ke kubu JDT. Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Babak kedua menyaksikan JDT bangkit dengan lebih garang dan dua pertukaran pemain dilakukan dengan memasukkan Romel Morales dan Francisco Geraldes bagi memperkuatkan jentera serangan.

Percaturan itu menjadi apabila rembatan Geraldes menghasilkan gol kedua untuk JDT pada minit ke 48 selepas bola rembatannya terbias kaki pemain pertahanan Malaysian University.

Geraldes juga sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke 60 selepas rembatan kencangnya dari luar kotak penalti mudah menewaskan penjaga gol lawan.

Pada minit ke-70, bola sepakan sudut pemain gantian, Heberty Fernandes terkena tepat di kepala Shahrul Saad yang menanduk bola masuk gol keempat menewaskan Muhammad Ashra.

Berbaki 10 minit sebelum tamat perlawanan, Morales meledak gol kelima JDT berpunca daripada hantaran Corbin.

Malaysian University berjaya membolosi gawang JDT namun ia dibatalkan oleh pengadil selepas meneliti rakaman video (VAR).

Berdasarkan kemenangan itu, JDT yang dibimbing Hector Bidoglio membawa bekalan selesa untuk sekali lagi berdepan skuad kendalian Ridzuan Abu Shah di Stadium Sultan Ibrahim, 5 Julai ini.