Khabar duka datang dari Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) apabila salah seorang penyokong Terengganu meninggal dunia ketika menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) semalam.

Perkara ini dikongsikan oleh pengulas sukan Astro Arena, Wan Khairil Azwa menerusi laman D miliknya dimana penyokong yang meninggal dunia itu dipercayai terkena serangan jantung.

Baca Juga:

Sehingga artikel ini ditulis, masih belum ada berita lanjut baik dari pasukan Terengganu mahupun dari keluarga penyokong yang ke stadium semalam.

Pada masa yang sama, JDT berjaya memenangi trofi keempat mereka musim ini sekaligus mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia dimana mereka menewaskan Terengganu dengan keputusan 3-1.

JDT membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti Bergson pada awal separuh masa pertama sebelum kelebihan itu dipadam Ivan Mamut yang turut menyempurnakan sepakan penalti.

Bersambung babak kedua, Suhaimi sekali lagi diuji melalui percubaan daripada luar kawasan penalti, namun beliau lebih bersedia untuk menepis rembatan daripada Bergson itu.

Skuad kendalian Tomislav Steinbruckner mendapat peluang terbaik pada minit ke-65 apabila sepakan percuma Nurillo Tukhtasinov terus mencari Mamut yang tidak dikawal berada dalam kawasan penalti.

Bagaimanapun, percubaan dilakukan penyerang berusia 26 tahun itu dinafikan dengan cemerlang Ahmad Syihan bagi menyelamatkan gawangnya.

Pemain gantian, Feroz Baharuddin membalas kepercayaan Esteban Solari apabila tandukannya selepas menerima hantaran sepakan penjuru Heberty berjaya menewaskan Suhaimi pada minit ke-73.

Meskipun Terengganu giat mencari jaringan penyamaan, JDT nyata belum berpuas hati dengan kelebihan tersebut dan terus memburu gol untuk mematikan api perjuangan lawan.

Jaringan dicari skuad Harimau Selatan itu hadir pada masa kecederaan selepas Arif Aiman menyempurnakan sepakan penalti untuk mengesahkan Piala Malaysia 2023 menjadi milik mereka.