New Zealand sekali lagi menjelmakan semangat juang kental untuk bangkit menewaskan Pakistan 4-3 pada aksi terakhir peringkat kumpulan B Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara 2024/25 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Kejayaan itu juga turut meletakkan New Zealand selaku juara kumpulan B dengan rekod rekod 100 peratus kemenangan dicatatkan.

Lebih penting kemenangan tersebut telah membuka peluang buat skuad negara untuk melangkah ke separuh akhir dengan syarat Malaysia perlu menundukkan Jepun.

New Zealand yang sebelum ini turut bangkit daripada ketinggalan tiga gol ketika bertemu Malaysia membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti Nic Woods pada minit keenam.

Pakistan yang turut mempunyai peluang untuk mara sekiranya mencatatkan keputusan seri atau menang kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-13.

Jaringan diharapkan skuad kendalian Tahir Zaman itu hadir menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Abdul Rehman.

Kem Pakistan terus melonjak kegembiraan berselang seminit kemudian apabila gerakan kemas dalam kawasan penalti disudahkan dengan tenang Rehman.

New Zealand Bangkit Untuk Raih Kemenangan

Pakistan terus selesa pada minit ke-28 apabila Rana Waheed Ashraf menolak masuk bola ketika situasi kelam-kabut dalam kawasan D New Zealand untuk menjadikan kedudukan 3-1.

Tersentak dengan kedudukan tersebut, New Zealand tampil lebih garang dan ia jelas kelihatan apabila mereka mendominasi permainan dengan deretan percubaan ke kubu Pakistan.

Usaha mereka membuahkan hasil dengan tiga jaringan menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan oleh Scott Crosslett pada minit ke-43, 45 dan 51 untuk menghadiahkan kemenangan berharga buat New Zealand.