Malaysia terlepas peluang untuk meraih kemenangan pada aksi sulung kejohanan Hoki Piala Negara-Negara 2023/24 apabila diikat Pakistan 4-4 pada perlawanan yang berlangsung di Gniezno, Poland sebentar tadi.
Pemain negara seharusnya menyalahkan diri sendiri kerana kehilangan fokus pada suku keempat bagi memberikan peluang buat Pakistan untuk bangkit daripada ketinggalan 1-4.
Baca Juga:
- Malaysia Layak Ke Piala Dunia Hoki Dalam Dewan 2025
- YB Hannah Dedah Peruntukan Kerajaan Buat Skuad Hoki Negara
- Subahan Minta Pengadil Hoki Cari Sukan Lain Jika Mahu Duit
Satu keadaan yang hampir sama ketika aksi sulung Piala Sultan Azlan Shah pada awal bulan lalu, namun kali ini Malaysia bernasib baik kebangkitan itu hanya menghadirkan keputusan seri.
Skuad negara tidak menunggu lama untuk membuka jaringan selepas Fitri Saari memisahkan kedua-dua pasukan hasil pukulan penalti strok yang disudahkan dengan cukup baik pada minit keempat.
Tiga minit kemudian, Azrai Aizad Abu Kamal pula meletakkan nama selaku penjaring menerusi pukulan kilas yang gagal diselamatkan penjaga gol Pakistan, Abdullah Ishtiaq Khan.
Peledak berbisa negara, Faizal Saari kemudiannya menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-11 untuk menjadikan kedudukan 3-0.
Pakistan merapatkan defisit jaringan selepas Rehman Abdul tidak melepaskan peluang untuk jaringan padang pada minit ke-32.
Memasuki minit ke-42, Fitri kembali menceriakan kem negara susulan jaringan kedua peribadi dihasilkannya juga ketika situasi penalti strok.
Skrip sama seperti di Ipoh berlaku sekali lagi dimana skuad kendalian Roelant Oltmans memberikan tekanan hebat ke arah gawang skuad negara yang dikawal Zaimi Mat Deris.
Kealpaan jentera pertahanan serta kegagalan barisan pemain serangan Malaysia untuk menyudahkan peluang terhidang digunakan sepenuhnya Pakistan.
Ia dibuktikan dengan tiga gol dihasilkan Pakistan menerusi pukulan sudut penalti Sufyan Khan (minit ke-43) dan jaringan padang daripada Shahid Hannan pada minit ke-52 serta penalti strok pada minit akhir permainan oleh Mahmood Abu.
Skuad negara akan berdepan Perancis pada perlawanan kedua kumpulan B yang dijadualkan berlangsung Ahad ini.