Hasrat untuk melihat skuad hoki Malaysia beraksi di Sukan Olimpik 2024 lebur apabila Speedy Tigers sekadar mencatatkan keputusan seri 3-3 menentang Pakistan pada aksi terakhir peringkat kumpulan awal pagi tadi.

Keputusan seri itu sekali gus menyaksikan skuad kendalian Arul Selvaraj gagal mara ke separuh akhir dimana hanya tiga pasukan terbaik layak beraksi di Paris.

Baca Juga:

Ini juga bermakna skuad hoki negara perlu menunggu lebih lama untuk beraksi dalam temasya yang kali terakhir disertai pada tahun 2000.

Lebih perit untuk ditelan, Pakistan berupaya bangkit tiga kali daripada ketinggalan untuk memusnahkan harapan kem negara.

Suku pertama perlawanan yang berlangsung di Muscat Oman itu memperlihatkan deretan peluang dimiliki jentera serangan Malaysia tetapi penjaga gol Pakistan, Abdullah Ishtiaq Khan cukup tangkas menghalang gawangnya daripada dibocori.

Malah, percubaan Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-15 pula singgah di tiang gol ketika Abdullah hanya mampu melihat ledakan tersebut.

Jaringan pertama Malaysia hadir pada minit ke-20 menerusi Fitri Saari yang melepasi kawalan pertahanan lawan dalam kawasan D lalu melakukan percubaan kilas bagi membolosi pintu gol lawan.

Kelebihan itu bagaimanapun hanya bertahan tiga mini apabila Sufyan Khan tidak mensia-siakan peluang bagi menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Malaysia kembali dihadapan ketika aksi memasuki minit ke-30 selepas Azrai Aizad menyudahkan ‘setpiece’ menarik ketika situasi pukulan sudut penalti.

Skrip sama berulang apabila Pakistan mendapatkan jaringan penyamaan berselang tiga minit kemudian menerusi jaringan padang berpunca gerakan solo berkelas dunia oleh Ammad Butt.

Malaysia terlepas peluang untuk menambah jaringan di minit ke-37 setelah pukulan penalti strok daripada Razie Rahim lemah dan mudah dibaca Abdullah.

Kehampaan itu ditebus Firhan Ashari pada minit ke-40 apabila beliau menyudahkan peluang terhidang susulan keadaan kelam-kabut dihadapan pintu gol Pakistan.

Kealpaan barisan pemain pertahanan negara dihukum ketika aksi hanya berbaki lapan minit untuk ditamatkan hasil jaringan ketiga Pakistan oleh Waheed Ashraf Rana.

Jaringan yang sudah cukup untuk membawa Pakistan ke separuh akhir bagi menentang Jerman. Manakala, Great Britain pula akan berhadapan dengan New Zealand.

Sementara itu, skuad hoki Malaysia bakal membuat perhitungan menentang Chile untuk perebutan klasifikasi tempat ke-5/8.