Skuad hoki Malaysia mengalami kekalahan kedua dalam Kelayakan Sukan Olimpik 2024 selepas tumpas di tangan Great Britain 1-4 pada aksi yang berlangsung di Muscat, Oman awal pagi tadi.

Tersentak berikutan kekalahan bertemu China kelmarin menyaksikan barisan pemain negara bermula dengan baik pada dua suku awal permainan.

Razie Rahim dan rakan sepasukan menampilkan corak permainan bertenaga ketika menyerang dan bertahan sehingga membuatkan Britain tidak mampu menghasilkan jaringan.

Malah penjaga gol, Muhammad Hafizuddin Othman dan pertahanan ketika menghadapi pukulan sudut penalti begitu kental bertahan menangkis deretan asakan lawan terutamanya menerusi situasi tersebut.

Namun, kecemerlangan itu terhenti pada minit ke-19 apabila percubaan susulan Will Calnan ketika situasi pukulan sudut penalti tidak mampu lagi dihalang Hafizuddin.

Kelebihan dimiliki anak buah Paul Revington itu bertahan tujuh minit apabila pukulan sudut penalti keempat berturut-turut diterima skuad negara berjaya disudahkan oleh Shahril Saabah bagi mengikat kedudukan.

Enggan terus diikat Malaysia, Britain tampil lebih garang untuk menguasai suku ketiga dan mereka tidak menunggu lama bagi kembali mendahului.

Jaringan kedua mereka hadir pada minit ke-32 menerusi pukulan sudut penalti rendah daripada Sam Ward tidak mampu diselamatkan Hafizuddin.

Zachary Wallace menambah jaringan ketiga buat Britain menerusi jaringan padang pada minit ke-39 yang membias terkena pemain skuad negara lalu membolosi gawang.

Tidak cukup dengan kelebihan tersebut, Ward menambah jaringan kedua peribadi ketika aksi hanya berbaki dua minit untuk ditamatkan bagi memuktamadkan kemenangan 4-1 memihak Britain.

Meskipun tewas pada dua perlawanan awal, ia masih belum menutup peluang skuad negara untuk mara ke separuh akhir.

Hal ini kerana mereka wajib mencatatkan kemenangan ke atas Pakistan sambil mengharapkan China tewas kepada Britain dengan defisit lebih daripada dua gol.