Penyerang berbisa skuad hoki Terengganu Hockey Team (THT), Faizal Saari merupakan antara pemain hoki tempatan yang mempunyai naluri pemusnah cukup hebat dalam merobek gawang lawan ketika beraksi.
Beberapa hari lalu, Faizal turut mencuri tumpuan peminat hoki tempatan apabila dengan cukup bersahaja beliau mempamerkan ketenangannya dalam mencipta jaringan ketika perlawanan suku akhir kedua Piala TNB antara THT menentang Liaoning Men’s Hockey Team dari China.
Baca Juga:
- MHL 2024: TNB Julang Piala Sumbangsih, Atasi THT Menerusi Penalti ‘Shoot-Out’
- MHL 2024: Skuad Hoki TNB Semakin Hampiri Kejuaraan
- MHL 2024: Bisa Ledakan Jang Jong-Hyun Ditagih TNB
Berpunca daripada gerakan solo dilakukannya ke dalam kawasan D pasukan lawan, Faizal memilih untuk mengimbang bola terlebih dahulu dan kemudiannya tolakan yang gagal diselamatkan penjaga gol, Qu Zhihao untuk gol ketiga perlawanan.
Jaringan memukau itu jelas mendapat pujian peminat hoki tempatan yang mengatakan ia merupakan gol berkelas dunia.
Satu keadaan yang memberikan gambaran jelas bahawa khidmat serta pengalaman luas pemain berusia 33 tahun itu masih diperlukan skuad hoki negara.
Perlawanan tersebut berkesudahan dengan kemenangan 4-0 memihak THT (agregat 9-2) yang menyaksikan kelab tersebut bakal membuat perhitungan dengan Maybank pada aksi separuh akhir pertama, petang ini.
Menurut statistik dikeluarkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), anak kelahiran Terengganu ini telah menjaringkan 133 gol pada 193 penampilan bersama skuad hoki negara.
Di peringkat domestik (Liga Hoki Malaysia) pula, terlalu banyak jaringan yang telah diledakannya sepanjang menyarung jersi Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan THT.