Susulan aksi hambar yang ditampilkan sehingga gagal untuk mara ke separuh akhir Sukan Asia 2023 dan Sukan Olimpik 2024 menyaksikan skuad hoki Malaysia telah dibubarkan.

Pembubaran tersebut turut melibatkan skuad remaja negara dibawah kendalian Amin Rahim yang menamatkan saingan Piala Dunia Remaja 2023 ditangga ke-12.

Baca Juga:

Berikutan keputusan yang telah diambil itu, kontrak barisan kejurulatihan kedua-dua pasukan juga sudah ditamatkan serta-merta.

Ini bermakna jodoh pengendali skuad senior, Arul Anthoni Selvaraj bersama skuad negara berakhir selepas kira-kira empat tahun memikul tanggungjawab tersebut.

Keputusan drastik itu diumumkan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal dalam satu sidang media yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

“Saya nak maklumkan selepas berbincang dengan Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan dan Jawatankuasa Kejurulatihan, kita memang sudah bubarkan pasukan senior lelaki dan remaja lelaki.”

Kredit Foto: FIH I Rodrigo Jaramillo

“Maksudnya semua pemain kembali beraksi dengan kelab mereka dalam saingan liga yang akan bermula tidak lama lagi.”

“Jadi, tiada pasukan kebangsaan buat masa sekarang ini. Kita akan bina semula pasukan baharu selepas tamat saingan liga nanti,” ujar Subahan menurut sumber laporan BH Online.

Ketika harapan tinggi disandarkan, skuad hoki negara gagal menyerap tekanan tersebut hingga dua kali dikecewakan oleh pasukan ranking ke-23 dunia, China di Sukan Asia dan Kelayakan Sukan Olimpik.

Perlawanan terakhir peringkat kumpulan di Hangzhou itu menyaksikan Malaysia sekadar seri dengan China 4-4 yang menutup peluang untuk mara ke separuh akhir Sukan Asia.

Beberapa bulan kemudian ketika Kelayakan Sukan Olimpik, China menewaskan Malaysia 3-2 pada aksi pembukaan dan wajib memenangi perlawanan terakhir bertemu Pakistan.

Namun, tiga kali kelebihan jaringan dimiliki masih tidak mampu dipertahankan pemain negara yang akhirnya mencatatkan keputusan seri 3-3.

Keputusan yang sekali gus menutup serapat-rapatnya peluang Malaysia untuk ke Paris.

 

 

Sumber