Skuad hoki Malaysia menempah laluan berliku dalam aksi pembuka tirai Kelayakan Sukan Olimpik 2024 apabila tewas 2-3 kepada China pada aksi yang berlangsung di Kompleks Hoki Oman, sebentar tadi.

Mahu menamatkan penantian 24 tahun gagal mara ke Sukan Olimpik, anak buah Arul Selvaraj mempamerkan corak permainan pantas sebaik aksi dimulakan.

Ia jelas dibuktikan dengan dua percubaan terbaik dimiliki Azrai Aizad Abu Kamal dan pukulan sudut penalti Firhan Ashari pada tiga minit awal permainan.

Namun penjaga gol China, Wang Caiyu cemerlang dalam menghalang gawangnya daripada dibolosi pada minit kedua dan ketiga.

China turut mendapat peluang menerusi pukulan sudut penalti pada minit ketujuh tetapi ia disia-siakan Meng Lei dengan tolakan tersasar.

Jaringan yang ditunggu kem negara hadir pada minit ke-29 apabila tolakan ke hadapan pintu gol China dilakukan Ashran Hamsani membias terkena kayu Mei Ling lalu membolehkan Azrai Aizad menyudahkan peluang terhidang untuk memisahkan kedua-dua pasukan.

Kelebihan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila China menyamakan kedudukan pada minit ke-31 menerusi pukulan penalti strok yang disempurnakan Ling Changliang.

Gol tersebut jelas menganggu tumpuan pemain negara yang sekali lagi melakukan kesilapan mudah yang menyaksikan China menjaringkan gol kedua menerusi Chao Jieming.

Pemain negara kemudiannya tampil dengan lebih baik untuk memperkemaskan aksi dengan gerakan pantas ke dalam kawasan D lawan.

Namun, jentera pertahanan China cukup berdisiplin dalam menyerap tekanan diberikan pemain negara. Malah, ‘setpiece’ menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-45 juga gagal diterjemahkan kepada jaringan.

Kehampaan itu ditebus Razie Rahim pada minit ke-47 apabila pemain berpengalaman itu menyudahkan pukulan sudut penalti yang dimiliki untuk kembali mengikat kedudukan.

Malaysia kemudiannya hampir menambah jaringan ketiga pada minit ke-50 tetapi tolakan Firhan di hadapan pintu gol China diselamatkan Wang Caiyu.

Kesilapan Faiz Helmi Jali memberikan pukulan sudut penalti pada saat terakhir permainan nyata memakan diri apabila Gao Jiesheng menyudahkan peluang tersebut untuk kemenangan 3-2 memihak China.