Malaysia mengakhiri saingan Piala Dunia Hoki Remaja 2023 di kedudukan ke-12 selepas tewas 3-4 menerusi pukulan penalti ‘shoot out’ pada aksi kualifikasi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Pemenang terpaksa ditentukan menerusi pukulan penalti ‘shoot-out’ selepas aksi penuh 60 minit berakhir terikat 2-2.

Baca Juga:

Ia merupakan kekalahan kedua berturut-turut buat skuad kendalian Amin Rahim itu menerusi situasi penalti tersebut dimana kelmarin Malaysia tunduk ditangan Belgium.

Malaysia tersentak seawal minit keempat permainan selepas tolakan Aldred Luke ketika situasi pukulan sudut penalti berjaya menewaskan Mohamad Rafaizul Mohamad Sani.

Kem negara tidak perlu menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila Adam Ashraf menolak masuk bola pada minit keenam hasil hantaran Cik Nur Aqirullah yang melakukan larian solo ke dalam kawasan penalti.

Tiga minit kemudian, kesilapan Rafaizul yang gagal mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya memberikan ruang kepada Sam Lints untuk melakukan pukulan kilas yang menjadikan kedudukan 2-1 memihak New Zealand.

Malaysia terlepas beberapa peluang terbaik untuk kembali mengikat kedudukan berikutan kekantalan penjaga gol lawan, Hayden Ganley.

Empat pukulan sudut penalti berjaya dinafikan penjaga tersebut manakala turut beberapa kali menggagalkan percubaan terbaik dimiliki pemain negara.

Kecemerlangan itu berakhir pada minit ke-57 setelah ledakan kilas daripada Shamir Shamsul tidak mampu diselamatkan untuk aksi diheret ke penentuan pukulan penalti ‘shoot-out’.

Kedudukan terikat 3-3 dengan masing-masing dua pemain Malaysia dan New Zealand gagal menjaringkan gol memaksa seorang lagi pemain perlu mengambil pukulan.

Pukulan terakhir menyaksikan Harris Osman gagal menyempurnakannya manakala Irwin Joshua memastikan kedudukan ke-11 Piala Dunia Hoki Remaja 2023 menjadi milik New Zealand.

Edisi 2021 yang berlangsung di Bhubaneswar, India menyaksikan skuad negara menamatkan kedudukan di tempat kelapan.