Tewasnya Malaysia ditangan Australia 2-4 pada aksi keempat Piala Sultan Azlan Shah 2026 malam tadi menyaksikan perebutan slot terakhir ke pentas final menjadi semakin menarik untuk disaksikan.

Hal ini kerana Australia sudah memastikan slot ke pentas final dalam usaha mereka memburu kejuaraan ke-11 dalam kejohanan yang berlangsung di Ipoh itu.

Manakala, Malaysia dan Pakistan pula bakal berentap sesama sendiri pada malam esok untuk memburu satu lagi slot ke final.

Berdasarkan kedudukan selepas berakhir empat perlawanan, skuad kendalian Brendan Carolan itu hanya memerlukan keputusan seri sahaja untuk mengesahkan pertemuan menentang Australia di pentas final yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu nanti.

Ia berikutan perbezaan jaringan yang lebih baik dimiliki Malaysia berbanding pasukan ranking ke-12 dunia itu.

Bagaimanapun cabaran Pakistan tidak boleh dipandang rendah skuad negara kerana lawan tersebut memiliki pakar pukulan sudut penalti, Sufyan Khan serta Shahid Hannan yang tajam dengan empat jaringan padang.

Berikut merupakan kedudukan terkini Piala Sultan Azlan Shah 2026 selepas berakhirnya empat perlawanan peringkat kumpulan:

Piala Sultan Azlan Shah 2026

1) Australia – 12 mata

2) Malaysia –  9 mata

3) Pakistan – 9 mata

4) Korea Selatan – 3 mata

5) Kanada – 3 mata

6) Amerika Syarikat – 0 mata