Malaysia memulakan kempen Piala Dunia Hoki Remaja 2023 dengan nota kemenangan selepas berjaya menundukkan Chile 7-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Menentang lawan yang berada di ranking ke-20 dunia menyaksikan anak buah Amin Rahim menguasai sebahagian besar permainan serta lebih banyak mencipta peluang jaringan.

Deretan peluang dimiliki barisan pemain Malaysia termasuk dua percubaan menerusi pukulan sudut penalti oleh ketua pasukan, Faris Harizan diselamatkan penjaga gol Chile, Julian Villanueva.

Jaringan yang dinantikan ribuan penyokong Malaysia hadir pada minit ke-23 selepas pukulan Harris Osman setelah menerima hantaran lintang Muhammad Addy Jazmi Jamlus untuk meletakkan skuad negara dihadapan.

Jaringan kedua kem negara hadir berselang 10 minit kemudian apabila pukulan kilas Muhammad Danish Aiman Khairil Anuar gagal diselamatkan dengan baik Villanueva.

Chile kemudiannya merapatkan defisit jaringan pada minit ke-34 menerusi pukulan sudut penalti Sebastian Wolansky yang melepasi celah kaki Shafiq Ikhmal Daniel.

Aksi kemudiannya semakin menarik dengan jaringan demi jaringan berjaya dihasilkan barisan muda pemain itu.

Ia bermula dengan jaringan ketiga pada minit ke-36 hasil sumbangan Andywalfian Jeffrynus menerusi pukulan sudut penalti meskipun tolakan awal daripada ‘pusher’ kurang baik.

Tiga minit kemudian, Alfarico Liau pula meletakkan nama selaku penjaring selepas percubaan susulan dilakukannya ketika situasi pukulan sudut penalti berjaya menewaskan Villanueva.

Tidak cukup dengan itu, Malaysia menambah jaringan kelima menerusi Shamir Shamsul yang menguis masuk cubaan awal cuba dilakukan Mughni Kamal pada minit ke-41.

Shahmie Irfan Suhaimi kemudiannya menambah dua jaringan  hasil gol yang diledakkannya menerusi pukulan sudut penalti dan penalti strok ketika aksi memasuki minit ke-47 dan 55 sekali gus mengesahkan permulaan cemerlang buat kem negara.

Skuad negara akan berdepan tugas getir malam esok apabila bakal berdepan juara bertahan, Argentina.